PETALING JAYA: Usia kronologi atau usia sejak dilahirkan tidak wajar dijadikan satu-satunya ukuran kesediaan ke sekolah kerana tahap perkembangan kanak-kanak berbeza dari segi emosi, sosial dan kognitif.
Pakar kanak-kanak Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, pendekatan dasar pendidikan perlu lebih seimbang, berperikemanusiaan dan berpandukan bukti.
Menurutnya, jika kemasukan tahun satu pada usia enam tahun diwajibkan, pelaksanaannya mesti disertai saringan kesediaan mengikut piawai, intervensi awal dan fleksibiliti keadaan.
“Dasar pendidikan harus berpaksikan kepentingan terbaik kanak-kanak selaras Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) 1989 yang mengutamakan kebajikan berbanding kemudahan sistem.
“Kemasukan mandatori tanpa menilai kesediaan boleh mencetus tekanan emosi, masalah penyesuaian serta menjejaskan minat belajar jangka panjang terhadap kanak-kanak.
“Persoalan sebenar bukan sekadar mewajibkan kemasukan usia enam tahun atau sebaliknya, tetapi bagaimana dasar itu dilaksanakan supaya tiada kanak-kanak tercicir atau dipaksa belajar sebelum benar-benar bersedia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pakar kanak-kanak Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd. Yusof Zulkefli pula menyatakan, pendekatan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mengekalkan kemasukan umur enam tahun sebagai pilihan adalah langkah yang wajar, berhati hati dan berasaskan pertimbangan profesional.
Katanya, dalam pendidikan awal kanak kanak, kerajaan tidak boleh menganggap semua anak berkembang pada kadar yang sama walaupun mereka berada pada umur yang sama.
“Berhubung dengan persoalan isu jurang pendidikan, memang benar isu itu perlu ditangani dengan serius. Namun jurang tidak semestinya dapat diselesaikan hanya dengan menurunkan atau mewajibkan umur kemasukan.
“Jika kemasukan diwajibkan secara menyeluruh tanpa mengambil kira variasi tahap perkembangan, ada kemungkinan sebahagian murid akan berada di luar zon kemampuan mereka dan mengalami tekanan awal.
“Jurang itu sering berpunca daripada perbezaan akses kepada prasekolah berkualiti, sokongan keluarga dan persekitaran pembelajaran di rumah. Oleh itu, usaha mengurangkan jurang perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan pendidikan awal, latihan guru yang memahami pedagogi perkembangan kanak kanak serta intervensi khusus untuk murid yang memerlukan sokongan tambahan,” katanya.
Pada Januari lepas Utusan Malaysia melaporkan, pelaksanaan cadangan pendidikan yang melibatkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu perlu ditangguhkan kerana ia dibuat terlalu tergesa-gesa dan belum melalui proses perancangan yang matang.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, dasar tersebut berisiko menjadikan kanak-kanak sebagai ‘bahan makmal’ dan boleh memberi kesan jangka panjang kepada satu generasi jika dilaksanakan tanpa penelitian sewajarnya.
“Sebelum ini kita dengar Perdana Menteri kata ia adalah pilihan ibu bapa, kemudian kerajaan memperkenalkan ujian saringan, dan akhirnya hanya melaksanakan dasar itu di sekolah yang mempunyai fasiliti mencukupi,” katanya. – UTUSAN










