PUTRAJAYA: Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) menetapkan hanya 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka untuk suntikan vaksin secara ‘jumpa terus’ (walk-in) kepada warganegara di Lembah Klang bermula esok.
CITF memaklumkan, ketetapan itu dibuat memandangkan bilangan walk-in untuk warganegara Malaysia semakin berkurangan sejak dimulakan 2 Ogos lalu.
“Oleh itu, walk-in untuk semua warganegara Malaysia di Lembah Klang akan diteruskan tetapi di 13 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, sembilan PPV dibuka esok termasuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) HCO F, HCO G dan HCO H; Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dan Hotel Wyndham, Klang.
Dua lagi dibuka bermula 25 Ogos iaitu Le Pavilion Gamuda Garden, Gombak dan Bukit Beruntung Golf Resort selain dua PPV lain dibuka mulai 26 Ogos iaitu Galaxy Mall Ampang dan Universiti Multimedia, Cyberjaya.
Dalam pada itu, CITF memaklumkan, bagi bukan warganegara Malaysia di Lembah Klang pula, kaedah walk-in yang dikhususkan di Pusat Pemberian Vaksin Stadium Nasional Bukit Jalil (PPV SNBJ) sehingga 22 Ogos ini digantikan dengan vaksinasi melalui kaedah janji temu.
“Ini bermakna, PPV SNBJ tidak lagi menerima walk-in bukan warganegara bermula 23 Ogos ini.
“Langkah ini diambil agar proses pemvaksinan bukan warganegara yang menyaksikan sambutan amat baik selama tempoh ia dilaksanakan baru-baru ini, dapat berjalan dalam keadaan yang lebih selamat dan selesa lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE