Fitnah: Individu, firma perunding kewangan diperintah bayar pengedar jongkong emas

Fitnah: Individu, firma perunding kewangan diperintah bayar pengedar jongkong emas

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang lelaki dan sebuah firma perunding kewangan membayar ganti rugi RM200,000 kepada syarikat pengedar jongkong emas.

Hakim Aliza Sulaiman memerintahkan sedemikian selepas membenarkan tuntutan saman fitnah Quantum Metal Sdn. Bhd. (QMSB) terhadap defendan-defendan, Mohd Zul Alwi Mat Adam dan Ezaz Wealth Management & Consultancy Sdn. Bhd.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan penuh dan disampaikan pada 30 Mac lalu melalui aplikasi Zoom.

Menurut penghakiman Hakim Aliza, turut hadir pada prosiding atas talian itu ialah peguam-peguam, Mahmud Abdul Jumaat dan Rafeq Ehsan Rahmat yang mewakili QMSB selaku plaintif manakala defendan diwakili peguam, Aidil Khalid.

Menurut penghakiman Hakim Aliza yang dilihat Utusan Malaysia, terdapat empat kenyataan dibuat defendan yang telah memfitnah QMSB.

“Penerbitan keempat dan kelima melibatkan hantaran semula (re-posting) oleh D1 (Mohd Zul Alwi) terhadap penerbitan oleh seorang individu bernama Khairul Azri dan Khairul Ezuwan.

“Dalam hal ini, dengan berkongsi semula hantaran-hantaran itu, D1 memikul tanggungjawab terhadap penerbitan keempat dan kelima.

“Hantaran itu juga jelas merujuk kepada Plaintif. Dalam erti kata lain, orang awam secara munasabah akan memahami bahawa penerbitan keempat dan kelima merujuk kepada Plaintif.

“Mahkamah bersetuju dengan Plaintif bahawa Pernyataan yang Dipertikaikan dalam bentuk asalnya dalam hantaran itu adalah memfitnah Plaintif,” ujar hakim itu.

Mahkamah juga berpuas hati bahawa penerbitan ke-15 turut memfitnah plaintif yang turut diakui oleh defendan sendiri bahawa kenyataan yang dipertikaikan itu merujuk kepada QMSB.

Merujuk kepada penerbitan ke-20, mahkamah bersetuju dengan hujah peguam plaintif bahawa defendan bertanggungjawab sebagai penerbit walaupun hantaran yang keluar di akaun Facebook milik Mohd Zul Alwi adalah hasil ‘tagging’ oleh individu lain.

“Defendan menghujahkan bahawa penerbitan ke-20 sebenarnya diterbitkan oleh seorang bernama Mohd Hassan yang telah menandakan (tagged) akaun Facebook sefendan menyebabkan penerbitan itu kelihatan di Facebook defendan.

“Plaintif menghujahkan, sebaik sahaja tagging, D1 gagal untuk memadam hantaran itu walaupun mempunyai kawalan dan telah diberitahu melalui surat tuntutan peguam Plaintif menjadikan D1 bertanggungan sebagai penerbit.

“Berdasarkan autoriti kes yang disandarkan oleh Plaintif, saya cenderung untuk bersetuju dengan penghujahan Plaintif.

“Oleh itu, adalah menjadi dapatan saya bahawa penerbitan ke-20 telah diterbitkan oleh defendan.

“Selain itu, Mahkamah berpuas hati bahawa Pernyataan yang Dipertikaikan adalah memfitnah Plaintif,” ujar hakim tersebut.

Mahkamah kemudian memerintahkan defendan-defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM200,000 dan kos sebanyak RM60,000.

Mahkamah turut memerintahkan defendan atau ejen atau pekerja mereka untuk memadamkan secara kekal dan dilarang daripada terus menerbitkan, menghantar, menyebarkan dan berkongsi penerbitan keempat, kelima ke-15 dan ke-20 atau dalam perkataan serupa yang mempunyai sifat dan kesan yang sama.

Mahkamah turut mengarahkan peguam defendan untuk memberikan pengesahan secara bertulis dengan segera kepada peguam plaintif bahawa perintah injukxi yang diberikan telah dipatuhi, sebaik sahaja ia dilaksanakan.

Mahkamah bagaimanaoun menolak tuntutan plaintif bagi ganti rugi teruk dan teladan selepas QMSB gagal membuktikan kerugian yang dialami.

Mahkamah juga menolak plaintif agar defendan menerbitkan permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat kerana kedua-dua defensan tidak pernah menunjukkan sebarang kesediaan untuk memohon maaf dan sebarang permohonan maaf yang dipaksakan ke atas mereka selepas penghakiman Mahkamah adalah tidak ikhlas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN