JBG bantu selesaikan 2,344 kes tanpa lalui proses mahkamah

JBG bantu selesaikan 2,344 kes tanpa lalui proses mahkamah

NORAZMI Mohd. Narawi ketika berucap pada Majlis Taklimat Promosi Program Pusat Mediasi Malaysia (PMM) dan 'Justice On Wheel' (JoW) 2026 di Nibong Tebal, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Jabatan Bantuan Guaman (JBG) telah berjaya membantu menyelesaikan tidak kurang daripada 2,344 kes secara mediasi atau rundingan tanpa perlu melalui sebarang proses mahkamah, tahun lepas.

Ketua Pengarah JBG, Datuk Norazmi Mohd Narawi berkata, antara kes tersebut termasuk kes sensitif berkaitan masalah rumah tangga, hak jagaan anak, nafkah serta beberapa isu lain.

“Kadang-kadang terlalu awal untuk kita bawa sesuatu kes itu ke mahkamah dan kadang-kadang juga kes berkenaan melibatkan maruah suami atau isteri dan sebagainya.

“Jadi, tujuan mediasi ini ialah, kita cuba ‘tutup’ supaya masalah rumah tangga itu sebagai contoh tidak terlalu ‘expose’ (terdedah) kerana ia melibatkan keluarga.

“Tujuan kita ialah untuk mendamaikan. Tetapi, kalau mereka (pihak yang terlibat) sudah ‘berpatah arang’, maka, kita tak boleh buat apa. Tapi, sekurang-kurangnya kita telah cuba untuk bantu mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Taklimat Promosi Program Pusat Mediasi Malaysia (PMM) dan ‘Justice On Wheel’ (JoW) 2026 yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, H’Ng Mooi Lye di sini, hari ini.

Mengikut rekod JBG, sebanyak 25,097 kes telah diberikan khidmat nasihat perundangan sepanjang tahun lepas dengan hanya kira-kira 9,683 daripada kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Daripada 9,683 kes itu pula, kira-kira 6,060 kes dibawa ke Mahkamah Syariah manakala 3,623 kes lagi dibawa ke mahkamah sivil untuk pendakwaan termasuk 1,279 kes jenayah.

Mengulas lanjut, Norazmi berkata, JBG turut menyokong pelaksanaan akta berkaitan antibuli dan berharap pihak tribunal juga boleh merujuk kes berkaitan kepada mereka bagi membolehkan kaedah penyelesaian secara mediasi dilakukan

“Apabila tribunal diwujudkan, maka, isu-isu berkaitan mediasi boleh dirujuk kepada JBG dan kes buli juga boleh diselesaikan di luar mahkamah,” ujar beliau.

Sementara itu, beliau berkata, JBG sedia bekerjasama dengan pusat-pusat ADUN dan komuniti di seluruh negara bagi membantu rakyat dalam isu berkaitan perundangan.

Dalam hal ini katanya, ADUN atau wakil rakyat setempat memainkan peranan penting untuk membantu menyalurkan maklumat kepada JBG kerana mereka lebih mengetahui masalah yang dihadapi oleh penduduk di satu-satu kawasan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN