Mediasi BDS, McDonald’s Malaysia positif - Utusan Malaysia

Mediasi BDS, McDonald’s Malaysia positif

BDS McDonald's
M. Reza Hassan bercakap kepada pemberita di hadapan aktivis yang menyokong gerakan boikot oleh BDS Malaysia selepas prosiding mediasi di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Proses mediasi antara kumpulan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia dengan syarikat Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd yang memegang hak cap dagangan McDonald’s Malaysia, hari ini dilapor positif.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak itu belum mencapai penyelesaian apabila prosiding di hadapan hakim mediasi bersambung pada 30 April depan di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Peguam, Datuk M. Reza Hassan yang mewakili BDS Malaysia berkata, meskipun di peringkat awal, alternatif penyelesaian secara harmoni kedua-dua pihak mencapai satu tahap yang baik dan ia akan dilanjutkan.

“Tetapi, alhamdulillah ia mencapai satu tahap yang baik. Jadi, itu sahaja, saya tidak boleh bincang dengan lebih lanjut terma-terma atau perkara yang telah diperbincangkan dalam mediasi tadi.

“Ia sangat positif melibatkan satu atau dua perkara sahaja. Dalam proses yang berlangsung hampir dua jam itu juga, kedua-dua pihak mengemukakan terma masing-masing untuk dipersetujui,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sebelum ini, gerakan yang mempromosikan kempen memboikot perniagaan atau produk yang dikaitkan dengan Israel memberitahu menerima writ saman daripada Gerbang Alaf yang mengoperasikan francais restoran makanan segera itu di negara ini.

Menurut BDS Malaysia, pihaknya baru-baru ini menerima writ saman mendakwa gerakan itu memfitnah francais makanan segera itu. Sementara itu, McDonald’s Malaysia mengesahkan ia memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia untuk melindungi hak dan kepentingannya.

Bagaimanapun, McDonald’s Malaysia menegaskan ia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti, atau fi francais daripada operasi restoran untuk menyokong mana-mana perjuangan politik atau konflik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, pihaknya berterusan menyatakan sokongan kepada BDS Malaysia termasuk gerakan aktivis dan aktivitinya.

“Kami terus menyokong semua tindakan boikot terhadap perniagaan dan syarikat yang memberi sokongan kepada Israel. Kami percaya kes ini (saman) untuk melemahkan aktivis dan kami berharap mahkamah dan proses mediasi akan berjaya mencapai serta tidak memberi sebarang ruang kepada syarikat sedemikian untuk melemahkan aktivis.

“Yayasan ini adalah sebahagian daripada BDS dan saya percaya BDS Malaysia akan meneruskan kempen boikot sehingga pembebasan Palestin daripada cengkaman Israel berlaku. Hentikan jenayah, penghapusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza dan seluruhnya,” tegasnya.

Terdahulu lebih 30 orang aktivis yang menyokong BDS Malaysia berhimpun di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi menunjukkan sokongan kepada gerakan boikot tersebut.

Mereka dilihat tiba di sana kira-kira pukul 8 pagi, namun tidak dibenarkan memasuki kawasan mahkamah untuk mengelak daripada gangguan kepada operasi hariannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN