Warga TNB kongsi rezeki RM1.63 juta bantu B40 - Utusan Malaysia

Warga TNB kongsi rezeki RM1.63 juta bantu B40

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meluluskan geran sepadan berjumlah RM1.63 juta untuk Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) bagi membantu lebih ramai golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sejak Tabung WTP dilancarkan 9 Jun lalu, lebih RM1.63 juta disumbangkan secara sukarela melalui potongan gaji bulan Jun dan Julai oleh warga kerja TNB termasuk pengurusan tertinggi dan Ahli Lembaga Pengarah organisasi itu.

Menurut beliau, keprihatinan warga kerja TNB untuk berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan  sangat baik dengan jumlah kutipan melebihi sasaran.

“Angka kutipan melepasi sasaran RM1.5 juta yang ditetapkan  pada tarikh tabung ditutup pada 12 Julai,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Kata beliau, sebagai perangsang kepada usaha murni ini,  Ahli Lembaga Pengarah TNB bersetuju menggandakan jumlah kutipan menjadikan jumlah tabung keseluruhan kini meningkat kepada RM3.26 juta.

“Peka dengan golongan berdepan pelbagai kesusahan dan tertekan akibat pandemik menyebabkan TNB sepakat menubuhkan Tabung WTP sebagai kaedah bagi warga kerja bersatu mengumpul sumbangan secara ikhlas dan sukarela.

“Ini amat penting dalam usaha menyeluruh TNB membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mahdzir, selain Tabung WTP, TNB sejak awal tahun ini telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 kumpulan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula, membabiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku.

“TNB juga turut sama dalam menjayakan program Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan Perdana Menteri dengan tajaan berjumlah RM2 juta.

“Program membabitkan pengagihan 420,000 bakul barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat wabak mendapat tajaan daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Projek (PMO Electric Vehicle) Bahagian Strategi Venture TNB, Ir Mohd Junaizee Mohd Noor yang mewakili pengurusan dan warga kerja berterima kasih kepada Lembaga Pengarahnya atas kelulusan geran tambahan itu.

“Kelulusan geran sepadan ini menzahirkan nilai keprihatinan tinggi segenap lapisan warga kerja TNB dan semoga sumbangan ikhlas ini mendapat keberkatan Allah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penerima Tabung WTP, R. Suganthi menyifatkan sumbangan ini membawa makna sangat besar kepadanya.

Suganthi berkata, dia akan menggunakan bantuan diterima bagi membeli ubat-ubatan dan keperluan seperti susu untuk anaknya yang mengalami masalah tulang akibat kemalangan.

“Sumbangan TNB ini membuatkan saya rasa bersemangat untuk keluar daripada kesusahan hidup ini,” katanya salah seorang daripada 2,189 penerima. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN