JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II, Azmi Johar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.08 petang.
Sehubungan itu katanya, seramai 12 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi, terdapat mayat seorang lelaki berusia lingkungan 60-an terapung-apung pada jarak 10 meter dari tebing.
“Anggota bomba bertindak membawa naik mayat mangsa ke tebing dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, operasi berkenaan kemudiannya ditamatkan pada pukul 1.40 petang.










