SEREMBAN: Perbuatan jenayah seorang lelaki warga Bangladesh yang tergamak membunuh dan menanam rakan sekerjanya di tapak pembinaan sebuah rumah banglo di Taman Mutiara Galla di sini, terbongkar selepas majikannya membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, kejadian pembunuhan yang berlaku pada 13 Julai itu terbongkar pada pukul 6.30 petang semalam selepas majikannya mengesyaki sesuatu berlaku kepada mangsa yang sudah lama tidak kelihatan.
“Apa yang berlaku majikan mendapati mangsa berusia 30 tahun tidak kelihatan beberapa hari dan menjadi tanda tanya. Apabila pergi ke tempat kerjanya di lokasi pembinaan suspek yang juga rakan sekerja, mangsa cuba melarikan diri dan ditangkap sebelum di bawa ke balai polis.
“Berdasarkan soal siasat, suspek berusia 29 tahun mendedahkan membunuh mangsa dan menunjukkan di mana mayat ditanam iaitu di tempat tinggal mereka di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Mohd. Said, susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh majikan dan pengakuan daripada suspek, pihaknya menganggap kes tersebut selesai.
“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham dan masih dalam siasatan bagaimana mereka boleh bergaduh.
“Suspek juga telah menunjukkan kayu yang digunakan untuk memukul mangsa sebelum menanamnya di kawasan tempat tinggal itu,” katanya yang memberitahu mereka telah tinggal bersama sejak sebulan lalu.
Beliau berkata, suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE