Varian Delta dikesan di Rembau - Utusan Malaysia

Varian Delta dikesan di Rembau

MOHAMAD Najib Mustafa (tiga dari kanan) ketika melakukan pemantauan di Taman Chembong Utama bagi pelaksanaan PKPD di empat lokaliti di Rembau. - UTUSAN/ NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kes jangkitan Covid-19 membabitkan varian Delta dikesan di daerah ini membabitkan seorang pekerja kilang warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rembau, Mohamad Najib Mustafa berkata, kes berkenaan ditemukan dalam tiga sampel kes positif Kluster Pedas 2 dan ia telah diambil pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk kajian.

Menurutnya, di antara tiga sampel berkenaan terdapat satu kes dikenal pasti membawa varian Delta dan terdapat kemungkinan berlaku perebakan varian berkenaan.

“Tindakan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) ini amat diperlukan supaya kita dapat membendung varia Delta yang kita semua tahu boleh merebak sangat pantas.

“Salah satu kaedah mengawal kluster yang terbaru di Rembau iaitu Kluster Industri Chembong adalah melaksanakan PKPD di empat lokaliti membabitkan seramai 4,200 penduduk dengan bilangan 1,027 rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan PKPD Taman Chembong Utama, di sini awal pagi tadi.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden Hazri Mohamad dan Pengarah Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Hisham Abd. Hamid.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin berkata, PKPD di Negeri Sembilan dilaksanakan membabitkan empat lokaliti iaitu Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya dan Taman Setia Raja di Mukim Chembong serta Taman KSNS di Mukim Pedas bermula 19 Julai hingga 1 Ogos ini.

Mohamad Najib yang juga Pegawai Daerah Rembau berkata, punca utama diadakan PKPD di kawasan membabitkan radius kawasan seluas 2.8 kilometer itu adalah berdasarkan sebanyak 161 kes positif Covid-19 termasuk satu kematian yang direkodkan di empat lokaliti berkenaan dari 1 hingga 13 Julai lalu.

“Seramai 116 individu dikenal pasti sebagai orang di bawah pemantauan (PUS) dan dipakaikan gelang merah jambu.

“Kawasan yang terlibat telah dikenal pasti mengikut kediaman individu positif Covid-19 terutamanya dalam kalangan bukan warganegara dengan kadar mobilisasi yang tinggi kerana berdekatan kawasan industri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya