LUMUT: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mesti membenarkan usul-usul membatalkan Perisytiharan Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dibahaskan serta diundi dalam persidangan Parlimen akan datang, kata Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.
Menurut Koo Ham, kegagalan melakukan perkara demikian bermakna Azhar melakukan tindakan pelanggaran sumpah jawatannya di bawah Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Perisytiharan Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat mesti dibentangkan di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Jika perisytiharan tersebut tidak dibatalkan terlebih dahulu, ia akan berhenti berkuat kuasa sekiranya ketetapan-ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Dewan Parlimen itu untuk membatalkan perkara berkenaan.
“Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Perisytiharan Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan kedua-dua Dewan ini diberikan peluang untuk memutuskan sama ada untuk membatalkannya atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Koo Ham yang juga pengamal undang-undang mengemukakan empat usul iaitu tiga usul untuk membatalkan perisytiharan itu melibatkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021.
Menurutnya, satu lagi usul ialah mahu ketiga-tiga ordinan darurat itu dibentangkan semula sebagai rang undang-undang untuk pertimbangan Dewan Rakyat bagi diluluskan sepenuhnya atau sebahagiannya, dipinda atau ditolak.
Beliau berkata, semua usul berkenaan sudah dikemukakan ke Parlimen pada Isnin lalu.
“Hak yang diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada ahli-ahli kedua-dua dewan untuk membuat keputusan terhadap perisytiharan itu dan ordinan darurat, mesti dihormati.
“Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menafikan hak mereka ini.
“Jika Datuk Azhar cuba menafikan hak-hak yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Ahli-ahli Parlimen, kami mungkin terpaksa mengemukakan usul membuangnya sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE










