SEPANG: Delegasi Malaysia ke misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 kali ini akan turut disertai oleh peserta berbangsa India dan Cina sekali gus menunjukkan misi kemanusiaan yang digerakkan itu bukan mewakili agama atau kaum tertentu semata-mata.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, misi kali ini juga disertai kru kapal berbangsa India beragama hindu dan seorang doktor berbangsa Cina beragama Buddha.
“Ini menarik kerana kita ada campuran untuk kita tonjolkan bahawa kita datang dalam versi yang mencerminkan Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Flag Off Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini.
Mengulas lanjut, Sani Araby berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) yang juga bertindak sebagai pengarah misi tersebut, manakala tokoh kemanusiaan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dilantik sebagai Chef de Mission Sumud Nusantara, memanfaatkan pengalamannya sebagai pengasas dan jawatankuasa bagi GSF dunia.
Jelasnya, sehingga kini, seramai 1,000 peserta telah mengesahkan penyertaan dengan delegasi kali ini merangkumi penganjur, kru kapal, kapten, pasukan perubatan serta pengamal media yang akan memberikan laporan telus mengenai situasi sebenar di lapangan.
Dalam pada itu, beliau berkata, misi yang diselaraskan oleh Gagasan NGO Sumud seperti Mapim, Cinta Gaza Malaysia, Cinta Salam Malaysia, MyAqsa Defender, Yayasan Mawardah, Centhra dan beberapa NGO lain di bawah SNCC dirangka strategik melalui lima fasa tindakan bagi memastikan bantuan tersebut sampai ke sasaran melalui pelbagai jalur.
“Antaranya adalah penghantaran 30 buah kontena bantuan kritikal dari Malaysia yang akan dibawa masuk secara terus melalui laluan darat ke Gaza dengan bantuan diplomatik kerajaan Malaysia bersama Mesir.
“Selain itu, satu kenyataan tegas berhubung pendirian Malaysia akan dikeluarkan secara langsung dari pintu sempadan Rafah, sebagai mesej diplomatik kepada dunia dengan kebenaran diplomatik kerajaan Malaysia dan Mesir,” ujarnya.
Tambahnya lagi, persidangan Parlimen antarabangsa di Brussels pada hujung April ini bertindak membina tekanan politik di peringkat Eropah, manakala langkah perundangan dengan memfailkan petisyen aduan rasmi di pejabat Ketua Pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi menuntut keadilan terhadap isu Palestin dan jenayah penculikan GSF 2025 di perairan antarabangsa. – UTUSAN










