SEOUL: Korea Selatan akan menghantar lima kapal negara itu ke pelabuhan Laut Merah Yanbu, Arab Saudi, untuk membantu mewujudkan laluan bekalan minyak alternatif bagi mengelakkan gangguan di Selat Hormuz, menurut seorang ahli Parlimen kerajaan hari ini.
“Kapal berkibarkan bendera Korea perlu dihantar ke laluan alternatif untuk memastikan bekalan minyak mentah menggunakan laluan eksport yang mengelakkan Selat Hormuz.
“Kami sedang berusaha untuk mengerahkan lima kapal berbendera Korea Selatan di pelabuhan Yanbu di Arab Saudi, wilayah Laut Merah,” kata ahli Parlimen, Ahn Do-geol kepada pemberita selepas mesyuarat dengan agensi berkaitan, termasuk kementerian tenaga.
Beliau berkata, utusan khas juga akan dihantar ke Arab Saudi, Oman dan Algeria bagi membantu memastikan bekalan minyak mentah tambahan selamat.
Seperti ekonomi Asia lain, Korea Selatan sangat bergantung kepada import tenaga, termasuk melalui Selat Hormuz, yang penutupannya secara berkesan telah mendorong kenaikan harga tenaga dan menggugat ekonomi global.
Situasi itu mendorong kerajaan mencadangkan belanjawan tambahan sebanyak AS$17.2 bilion untuk mengurangkan kesan ekonomi, dengan Presiden Lee Jae Myung memberi amaran ekonomi negara kini berada dalam ‘keadaan darurat perang’.
Kementerian Tenaga negara itu baru-baru ini mengeluarkan garis panduan yang menasihatkan orang ramai menjimatkan tenaga, termasuk mandi lebih singkat dan mengecas telefon bimbit pada waktu siang.
Harga minyak meningkat susulan perang AS-Israel ke atas Iran, meningkatkan risiko pertumbuhan dan inflasi bagi Korea Selatan, yang bergantung kepada minyak mentah dari Asia Barat bagi kira-kira 70 peratus daripada importnya.
Iran secara efektif menutup Selat Hormuz — laluan kritikal untuk minyak mentah dan gas global, sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel.
Situasi itu mendorong Seoul untuk menyediakan langkah kecemasan, termasuk had harga bahan api, langkah pertama seumpamanya sejak 1997.- AFP










