SEOUL: Seoul akan menghantar lima kapal berbendera Korea Selatan ke pelabuhan Yanbu di Arab Saudi untuk membantu mewujudkan laluan bekalan minyak alternatif bagi mengelak gangguan di Selat Hormuz, kata seorang ahli Parlimen pemerintah pada Isnin.
Harga minyak melonjak susulan perang AS-Israel terhadap Iran, meningkatkan risiko pertumbuhan dan inflasi bagi Korea Selatan yang bergantung pada minyak mentah Asia Barat untuk kira-kira 70 peratus importannya.
Iran secara berkesan menutup Selat Hormuz, laluan kritikal bagi minyak mentah dan gas global sebagai balasan terhadap serangan AS-Israel.
Keadaan ini mendorong Seoul menyediakan langkah kecemasan, termasuk had harga bahan api, langkah pertama seumpamanya sejak 1997.
“Kapal dengan bendera Korea Selatan perlu dihantar ke laluan alternatif untuk memastikan bekalan minyak mentah menggunakan laluan eksport yang mengelak Selat Hormuz.
“Kami sedang berusaha untuk menghantar lima kapal berbendera Korea Selatan ke pelabuhan Yanbu di Arab Saudi, di wilayah Laut Merah,” kata ahli Parlimen, Ahn Do-geol kepada pemberita selepas mesyuarat dengan agensi berkaitan, termasuk kementerian tenaga.
Beliau menambah utusan khas juga akan dihantar ke Arab Saudi, Oman dan Algeria untuk membantu mendapatkan bekalan minyak tambahan.
Seperti ekonomi Asia lain, Korea Selatan sangat bergantung pada import tenaga, termasuk melalui Selat Hormuz, namun penutupannya telah menaikkan harga tenaga dan menggoncang ekonomi global.
Keadaan ini mendorong kerajaan mencadangkan bajet tambahan AS$17.2 bilion (RM69.27 bilion) untuk menampung impak ekonomi, dengan Presiden, Lee Jae Myung memberi amaran ekonomi berada dalam ‘keadaan berperang’.
Kementerian tenaga negara itu baru-baru ini mengeluarkan garis panduan menggesa orang ramai menjimatkan tenaga, termasuk dengan mandi lebih singkat dan mengecas telefon bimbit pada waktu siang.-AFP










