PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan parti itu tidak melobi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah memutuskan untuk tidak menerima apatah lagi melobi jawatan nombor dua itu.
Malah katanya, adalah lebih baik UMNO melobi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar penambahbaikkan bantuan rakyat termasuk moratorium tanpa faedah, i-Citra dan pelbagai bantuan lain dapat dibuat.
“Usah percaya berita palsu kononnya UMNO melobi jawatan Timbalan Perdana Menteri. MT telah putuskan untuk tidak menerima tersebut jauh lagi untuk melobi.
“Lagipun daripada melobi jawatan TPM (Timbalan Perdana Menteri), lebih baik melobi Perdana Menteri untuk tambah baik bantuan rakyat tanpa faedah terakru, i-Citra, segerakan dan tambah lagi bantuan tunai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Khas Covid -19( BKC),” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya hari ini. – UTUSAN ONLINE