BERBEKALKAN pengalaman sebagai bekas pengurus kewangan, seorang wanita berjaya menjadi usahawan makanan sejuk beku dengan jualan mencecah RM35,000 sebulan melalui perniagaan produk salai dan pes masak lemak cili api.
Azimah Abdul Malik, 50, yang mengusahakan perniagaan di bawah syarikat Angah Biduanda Resources memulakan perniagaan sejak 2018 setelah mendapat idea hasil permintaan ibu mertua yang gemar daging salai.
“Setiap kali balik ke kampung di Perak, ibu mertua akan kirim daging salai dari Negeri Sembilan.
“Dari situ saya nampak peluang untuk memasarkan produk salai ke luar negeri ini,”katanya ketika ditemui pada Program Pemerkasaan Wanita 2025 Port Dickson di Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson baru-baru ini.
Pada peringkat awal, Azimah hanya menjual kepada kenalan rapat, namun sambutan positif menyebabkan perniagaan berkembang hingga menarik minat rangkaian kedai halal dan pemborong makanan sejuk beku.
Produk salai yang dihasilkan termasuk daging, itik, ayam kampung dan ikan keli yang diproses sendiri menggunakan kaedah tradisional penyalaian selama enam hingga tujuh jam sebelum dibungkus vakum dan dibekukan.
Setiap produk turut disertakan pes masak lemak cili api resepi asli Negeri Sembilan, menjadikannya produk sedia dimasak yang digemari ramai.
Produk kini boleh didapati secara fizikal di beberapa lokasi termasuk Senawang, Seremban 2, Nilai, Kuala Lumpur dan Nibong Tebal, selain dijual atas talian menerusi platform Shopee di bawah nama Dapur Kak Ngah HQ.
Menurut Azimah, produk salainya juga dibekalkan secara pukal ke beberapa buah restoran sekitar Port Dickson, Kuala Lumpur dan Terengganu.
Mempunyai impian untuk membuka sebuah pusat sehenti produk salai, Azimah berharap dapat menjadikan perniagaannya sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan negeri.
“Saya mahu pengunjung bukan sahaja membeli produk salai, tetapi juga dapat melihat sendiri proses penyalaian sebagai satu pengalaman pelancongan,” ujarnya yang beroperasi di Anjung Salai, Bazar MARA Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson.
Antara set yang ditawarkan termasuk Set Daging Salai dan Pes Cili Api berharga RM27, Set Itik Salai dan Pes (RM37), Set Ayam Kampung Salai (RM37) dan Set Keli Salai (RM26), yang mampu menampung empat hingga lima orang makan. – UTUSAN










