KUALA NERUS: Seorang pemuda tidak kisah mengeluarkan peruntukan besar bagi memenuhi minatnya terhadap kereta klasik dengan mengumpul 10 buah kenderaan itu sejak 15 tahun lalu.
Malah, kereta klasik Volkswagen Safari Westfalia Camper 1967 yang merupakan satu-satunya model yang terdapat dalam negara ini adalah antara koleksi Amirul Ihsan Mohd. Sukri, 36.
Katanya, dia membeli model itu tiga tahun lalu daripada pengumpul kereta klasik pada harga lebih RM100,000.
“Model ini lebih mahal dan istimewa kerana dilengkapi peti ais, kabinet dan kerusi yang boleh dijadikan katil dengan kos ubah suai mencecah RM30,000.
“Boleh dikatakan model ini paling rare sebab ada sebuah sahaja dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia pada program Volkster Mega Gathering di Pantai Teluk Ketapang, di sini.
Pada program itu juga, Amirul Ihsan dipilih sebagai pemenang Best Of Rare Model.
Amirul Ihsan dari Kuantan, Pahang berkata, minatnya terhadap kereta klasik banyak tercetus dari hasil pemerhatian dan pembacaan.
“Saya bermula dengan membeli kereta klasik pada harga RM5,000 sehingga paling mahal lebih RM 100,000, malah yang juga diperoleh secara percuma.
“Memang kereta klasik memerlukan lebih perhatian daripada segi penjagaan, namun sehingga kini semuanya dalam keadaan baik malah mampu menempuh perjalanan sejauh 230 kilometer dari Kuantan ke Terengganu,” katanya.
Antara model kereta klasik dimilikinya adalah Volkswagen Super Beetle Cabriolet 1303S 1974, Combi dan Fast Back.
Sementara itu, Naib Presiden Kelab Volkswagen Terengganu, Mohd. Azly Omar berkata, program yang mengumpul lebih 350 peminat kereta klasik dari seluruh Malaysia termasuk daripada Thailand dan Singapura itu julung kali diadakan di Terengganu.
“Program seperti ini dapat memberi ruang kepada ahli kelab berkongsi pengalaman dan membantu mendapatkan khidmat nasihat berkaitan penjagaan kereta klasik,” katanya. – UTUSAN










