UMNO bukan pak sanggup tadah kegagalan PN - Utusan Malaysia

UMNO bukan pak sanggup tadah kegagalan PN

MUHYIDDIN YASSIN dan AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO tidak boleh jadi ‘pak sanggup’ menadah kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama dalam menangani penularan Covid-19.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara walaupun terpaksa menongkah arus dengan mengumumkan penarikan sokongan terhadap PN.

Beliau dalam masa yang sama menolak dakwaan kononnya tindakan UMNO menarik sokongan terhadap gabungan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu kerana dahagakan kuasa.

“Jika dahagakan kuasa bukan begitu sifatnya. Lebih baik bergayut kepada kuasa sedia ada.

“Perlu dilakukan adjustment (perubahan) supaya aspirasi rakyat dapat kembali ke landasan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

UMNO mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan serta-merta.

Menurut Ahmad Zahid, segala panduan utama yang digariskan oleh UMNO sebagai syarat sokongan terhadap Muhyiddin sebelum ini telah gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO seolah-olah perlu dipertanggungjawabkan disebalik kegagalan kerajaan PN dan secara halus ‘jenama’ UMNO cuba ‘dikambing hitamkan’.

“UMNO pula seolah-olah perlu dipertanggungjawabkan disebalik kegagalan kerajaan PN.

“Bantuan diumumkan untuk rakyat walau tidak seberapa itu pun UMNO yang terpaksa mendesak,” jelasnya.

Tambah Ahmad Zahid, UMNO dituduh main politik, sedangkan mereka kekurangan ‘political will’ menyelamatkan rakyat.

“Sudah terlalu lama rakyat menderita dengan kedudukan ekonomi sangat lembab. Walau terpaksa menelan pelbagai tohmahan, kritikan dan diperlekeh.

Maka UMNO secara musyawarah mengambil keputusan yang cukup besar semalam.Kerana UMNO tahu rakyat sudah tidak tertanggung lagi. Negara perlu dipulihkan segera.Keadaan perlu diperbetulkan daripada yang teratas. Kapal belayar mengikut percaturan nakhoda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN