PETALING JAYA: Universiti Awam (UA) digesa menurunkan yuran yang sekali gus dapat memberi manfaat kepada 500,000 pelajar di 20 universiti seluruh negara.
Gesaan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil maklum tuntutan pelajar UA agar menurunkan kadar yuran yang dikenakan ke atas mereka ekoran kemelut ekonomi melanda negara kini sepanjang tempoh Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Dr. Maszlee Malik berkata, kerajaan digesa memberikan subsidi tambahan kepada pihak universiti di atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan universiti melalui geran-geran khas sementara sepanjang krisis ekonomi dan wabak yang melanda tanah air.
“Kami senada dengan tuntutan pelajar terlibat agar pihak UA menurunkan yuran dengan mengecualikan yuran-yuran tidak berkaitan memandangkan kebanyakan mereka menjalankan sesi kuliah dan pembelajaran secara dalam talian.
“Oleh itu, kerajaan harus mengambil langkah tidak konvensional menangani krisis pendidikan di kala wabak melanda menerusi keadaan yang getir dan luar biasa ini memerlukan pendekatan yang tidak konvensional di dalam memastikan proses pendidikan tidak terganggu dan akses berkualiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun sebelum ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad memaklumkan, keputusan sama ada yuran pengajian pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) dikurangkan ataupun tidak dicaj ketika pelajar tidak mengikuti kelas mereka di kampus ketika ini adalah bergantung kepada universiti masing-masing.
Katanya, perkara itu adalah kerana universiti mempunyai autonominya masing-masing, namun begitu, pihaknya dimaklumkan tiada sebarang kenaikan dikenakan terhadap yuran pengajian pelajar sedia ada.
Menyentuh nasib institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), Maszlee berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan memberikan subsidi bayaran yuran kepada pelajar dari keluarga B40 dan M40 yang akhirnya pusat pengajian terlibat akan menurunkan yuran.
Beliau menambah, pihaknya mengambil maklum tuntutan pelajar IPTS agar yuran mereka juga diturunkan apabila mereka kini terpaksa belajar secara dalam talian sepanjang wabak melanda.
“Kami prihatin terhadap survival IPTS yang berhadapan cabaran kerana kurangnya kemasukan pelajar baharu termasuk antarabangsa selaku punca pendapatan utama mereka.
“Oleh itu kami mencadangkan kepada kerajaan agar pengecualian cukai ke atas IPTS juga boleh dilakukan berdasarkan jumlah biasiswa yang mereka berikan kepada pelajar yang memerlukan dan juga berdasarkan penurunan yuran yang mereka berikan kepada pelajar tempatan,” katanya.










