Turki mahu berunding dengan Taliban berhubung ambil alih lapangan terbang Kabul - Utusan Malaysia

Turki mahu berunding dengan Taliban berhubung ambil alih lapangan terbang Kabul

Recep Tayyip Erdogan - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada hari Isnin mengatakan bahawa negara itu merancang rundingan dengan Taliban ekoran tentangan keras kumpulan itu berhubunng pengambilalihan lapangan terbang Kabul daripada tentera Amerika Syarikat (AS).

“Insya Allah, kita akan melihat apakan perbincangan yang akan kita lakukan dengan Taliban dan melihat ke mana perundingan ini akan membawa kita,” kata Erdogan kepada wartawan di Istanbul.

Turki telah berunding dengan para pegawai pertahanan AS atas tawarannya untuk membantu mengaman dan mengendalikan lapangan terbang Kabul, yang merupakan kunci untuk membolehkan beberapa negara mengekalkan kehadiran diplomatik di negara yang dilanda perang setelah penarikan pasukan tentera AS.

Erdogan dan Presiden AS Joe Biden telah membincangkan isu tersebut dalam pertemuan pertama mereka secara langsung di pinggir sidang kemuncak Petubuhan Pakatan Atlantik Utara (NATO) pada bulan Jun.

Turki mengekalkan ratusan tentera di Afghanistan, tetapi seorang pegawai Turki memberitahu AFP bahawa mereka “bukan pasukan tempur”.

Ankara dan Washington telah membincangkan isu-isu seperti sokongan kewangan dan logistik untuk misi Turki dari Amerika Syarikat dan NATO, kata para pegawai.

Minggu lalu, Taliban menyebut tawaran Turki “tercela”.

“Kami menganggap kehadiran pasukan asing di tanah air kami oleh negara manapun dengan dalih apa pun sebagai satu bentuk pendudukan,” kata kumpulan itu.

Erdogan mengatakan bahawa Taliban tidak menggunakan “pendekatan yang tepat”.

“Pada pandangan kami, pendekatan Taliban sekarang bukanlah bagaimana seorang Muslim bersikap terhadap Muslim lain,” katanya, mendesak kumpulan pemberontak itu untuk menghentikan tindakan mereka.

“Kami meminta Taliban untuk menunjukkan kepada dunia secepat mungkin bahawa keamanan berlaku di Afghanistan.” – XINHUA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya