PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi tidak sekali-kali menyekat kebebasan akademik setiap universiti di negara ini.
Sebaliknya, Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, apa yang dipersoalkan ialah kenyataan seorang pensyarah dari Amerika Syarikat (AS), Bruce Gilley yang amat biadab dan celupar sehingga menyentuh keselamatan, kedudukan dan imej negara.
“Itu kita kena bezakan. Ini bukan soal dunia akademik atau menyekat kebebasan akademik.
“Ini adalah soal kenyataan yang dikeluarkan profesor itu yang sangat berbahaya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di sini semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dikeluarkan seorang profesor tempatan, Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi bahawa adalah menjadi ‘amalan biasa’ dalam akademia menjemput tokoh kontroversial untuk wacana.
Tajuddin juga dilapor berkata, Universiti Malaya (UM) tidak seharusnya membuat permohonan maaf kerana menjemput Gilley dan mendakwa sepatutnya tiada sekatan dilaksanakan terhadap amalan biasa itu kerana boleh menjejaskan kebebasan akademik.
Terdahulu, tindakan UM menjemput Gilley yang merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, AS menerima kecaman ramai selepas ucapan beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.
Gilley, pernah menimbulkan kontroversi kerana mendukung tindakan kuasa barat menjajah negara lain berkata, ahli politik Malaysia mahukan ‘Holocaust kedua’ atau pembunuhan ramai-ramai terhadap bangsa Yahudi.
Gilley turut menyerang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, Zambry berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada UM berhubung tindakan universiti itu menjemput pensyarah berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan perkara asas yang patut diambil oleh UM atau mana-mana universiti untuk menyemak terlebih dahulu latar belakang setiap pensyarah jemputan.
“Kalau kita nak jemput siapa sahaja, maka universiti berkenaan akan semak latar belakang, apa kepakaran dia dalam bidang apa, sama ada benar-benar merupakan seorang sarjana yang dihormati.
“Saya masih menanti lagi laporan UM, saya telah maklumkan saya nak laporan segera, saya tidak mahu peristiwa seperti ini berulang,” katanya. – UTUSAN










