Anak Menteri Besar Perlis, empat individu lain dibebaskan

Anak Menteri Besar Perlis, empat individu lain dibebaskan

ANAK Menteri Besar yang direman tiga hari bagi membantu siasatan kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Anak Menteri Besar yang direman tiga hari bagi membantu siasatan kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Turut dibebaskan pegawai kanan pejabat Menteri Besar dan tiga lagi suspek lain dalam kes berkenaan.

Peguam mereka, Mohd. Fa­dh­ly Yaakob berkata, kesemua lima suspek dilepas secara berperingkat sejak pukul 11 pagi.

“Semalam seorang anak gu­am saya telah dilepaskan dari tahanan reman manakala hari ini (semalam) lima lagi dilepaskan dengan jaminan SPRM.

“Jadi semua yang ditahan sejak tiga hari lalu dilepaskan dan sekiranya ada keperluan mereka akan dipanggil semula untuk memberi keterangan,” katanya ketika ditemui di pekarangan pejabat SPRM Perlis di sini semalam.

Sebelum itu, media melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan pejabat Menteri Besar dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

Keenam-enam suspek terli­bat berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan antara pukul 7 hingga 8 pagi sekitar Perlis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Siasatan berkenaan dilakukan atas kesalahan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan dengan anggaran jumlah keseluruhan projek bernilai RM600,000 bermula dari tahun 2022 sehingga kini.

Tambah Mohd. Fadhly, sejak dari hari pertama penahanan, beliau menegaskan tiada keperluan untuk tahanan reman ke­rana semua anak guamnya akan hadir memberi kerjasama

Katanya, setiap seorang di­bebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×