Tetak kepala Syamilla Bihai dengan golok selamatkan lelaki Orang Asli - Utusan Malaysia

Tetak kepala Syamilla Bihai dengan golok selamatkan lelaki Orang Asli

ADIN Andok  masih berada di RPS Kuala Betis, Gua Musang sementara menunggu rawatan susulan pada matanya yang cedera dicakar haiwan itu pada 4 Julai lalu. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Cedera parah di kepala, mata dan badan akibat dicakar harimau belang betina hampir-hampir meragut nyawa Adin Andok dalam kejadian di Kampung Badak, Pos Bihai, 4 Julai lalu.

Lelaki Orang Asli berusia 48 tahun itu bagaimanapun terselamat, hasil tindakan nekad melawan semula haiwan tersebut dengan cara menetak kepalanya menggunakan golok yang terselit di pinggang.

Menceritakan semula pengalaman menggerunkan itu, Adin berkata, dia diterkam sehingga terbaring di tanah dalam keadaan kuku harimau terbabit mencengkam dadanya.

“Saya nekad melawan balik dan kami bergelut hampir 10 minit sebelum saya dapat menetak kepala harimau itu dengan golok. Selepas kepalanya cedera ditetak, barulah harimau tersebut melepaskan saya dan melarikan diri.

“Saya ditinggalkan terbaring dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebelum diselamatkan  rakan sekampung. Saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus hidup,” katanya di sini hari ini.

Suami kepada Aluij Angah, 50, dan bapa kepada 11 anak itu yang masih dalam keadaan lemah ditemui pemberita di Pusat Transit Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini.

Adin dalam pada itu berkata, selain rindukan isteri dan anak-anak, dia tidak serik untuk kembali ke kebun ubi kayu memandangkan itulah aktiviti yang menjadi punca rezeki utama keluarganya selama ini.

“Namun saya masih perlu berehat di RPS Kuala Betis sementara menunggu rawatan susulan mata kiri yang cedera teruk akibat dicakar harimau. Rawatan itu dijadual awal bulan depan,” katanya.

Sementara itu, Syamilla Bihai, harimau betina yang menyerang Adin juga dilaporkan beransur pulih selepas cedera ditetak pada kepalanya.

Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), keadaan Syamilla Bihai pada masa ini semakin positif, malah selera makan harimau betina itu juga sudah bertambah baik.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang 4 Julai lalu, Adin yang bersendirian di kebun ubi kayu cedera parah di kepala dan badan akibat diterkam seekor harimau betina dan terpaksa menahan sakit kira-kira 15 jam sebelum tiba di Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya