Terharu terima sumbangan Yadim - Utusan Malaysia

Terharu terima sumbangan Yadim

SEBAHAGIA pekerja pembersihan yang menerima kotak bantuan daripada Yadim sempena program Yadim Peduli: Musa'adah Covid-19 PKP 3.0 di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Meskipun bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan ketika mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang pekerja pembersihan di sini mengakui semakin dihimpit pelbagai tekanan terutama dari segi kewangan dalam mencari sesuap nasi untuk keluarganya.

Zulkifli Dollah, 43, berkata, sejak PKP 3.0, hanya dia yang bekerja manakala isterinya yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) tidak dapat membantu menambah pendapatan keluarga.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, perbelanjaan harian juga terpaksa dicatu memandangkan dia kini hanya menerima gaji pokok dan wang itu sahaja yang digunakan untuk membeli keperluan harian selain membayar pinjaman kewangan.

“Apabila ada pihak seperti Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) sudi membantu kami dengan menyumbangkan barangan keperluan harian, itu pun sebenarnya lebih daripada mencukupi, Alhamdulillah,” katanya.

Zulkifli ditemui pemberita pada majlis sumbangan tersebut yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh di Depoh Pembersihan Padang Cempedak di sini hari ini.

Selain Zulkifli, terdapat lebih 300 penerima lain di negeri ini terdiri daripada pekerja pembersihan, petugas hospital dan pusat pemberian vaksin (PPV), nelayan dan sebagainya yang menerima bantuan itu di bawah program Yadim Peduli: Musa’adah Covid-19 sempena PKP 3.0 ini.

Seorang lagi penerima, Mohd. Hamizan Ahmad, 42, turut bersyukur kerana bantuan yang diterima itu sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung sepanjang tempoh sukar ini.

Dalam pada itu, Tuan Kamarul Arief memberitahu, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, pihaknya telah membelanjakan sehingga RM1 juta untuk menyalurkan bantuan di bawah program kali ketiga itu.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 35,000 keluarga di seluruh negara telah kita bantu.

“Kita jangkakan menjelang akhir tahun ini, mungkin peruntukan sehingga RM1.5 juta atau lebih akan digunakan bagi diagihkan kepada antara 70,000 hingga 100,000 penerima yang layak,” katanya.

Tambah beliau, usaha tersebut akan dibuat secara berterusan selaras saranan kerajaan khususnya menteri yang menjaga portfolio agama supaya semua penerima bantuan yang layak disantuni segera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya