Terburu-buru letak Tabung Haji bawah kawal selia BNM  - Utusan Malaysia

Terburu-buru letak Tabung Haji bawah kawal selia BNM 

TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menyifatkan tindakan Kementerian Kewangan meletakkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai sesuatu yang terburu-buru.

Presidennya, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, ini kerana ia dilakukan tanpa perbincangan dengan wakil-wakil pemegang taruh selain mengelirukan umat Islam.

Sambil melahirkan rasa kesal, katanya, keputusan itu juga menggambarkan seolah-olah kerajaan tidak faham matlamat utama penubuhan Tabung Haji dan meletakannya setaraf dengan syarikat kewangan.

“Pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz  meletakkan Tabung Haji di bawah kawal selia BNM sebelum Suruhanjaya Diraja (RCI) diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjalankan tugas adalah sangat tidak wajar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dalam kenyataannya berkata, mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menyenaraikan Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM.

Menurut Mohd. Yussof, pengumuman oleh Menteri Kewangan tersebut mungkin mempunyai agenda tertentu dan sangat dibimbangi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan masyarakat Melayu umumnya.

Jelasnya, Tabung Haji bukan sebuah institusi kewangan seperti mana-mana institusi kewangan lain di negara ini.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN