Arsenal 'lembik' di hujung musim  

Arsenal ‘lembik’ di hujung musim  

Mikel Arteta
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Penyokong Arsenal mula mempersoalkan masa depan skuad kendalian Mikel Arteta selepas sekali lagi mempamerkan aksi goyah di hujung musim.

Kekalahan kepada Southampton pada suku akhir Piala FA mungkin dianggap kejutan, namun corak kejatuhan prestasi pada saat genting bukan perkara baharu buat The Gunners.

Arsenal kerap melakukan kesilapan pada hujung musim, sekali gus mengimbau kekecewaan lampau termasuk tiga kali naib juara liga berturut-turut serta kemarau trofi selama enam tahun.

Sebelum ini, mereka dalam landasan terbaik untuk merangkul empat piala, namun kini harapan tinggal harapan yang menyebabkan penyokong mula bimbang.

Statistik turut menggambarkan kemerosotan itu apabila Arsenal hanya melakukan satu kesilapan yang membawa kepada gol dalam 28 perlawanan dari Ogos hingga Disember.

Bagaimanapun, angka berkenaan meningkat kepada lapan gol hasil kesilapan individu dalam 23 perlawanan sejak Januari, sekali gus menyaksikan mereka senang melepaskan gol.

Kesilapan terbaharu melibatkan Ben White dan Kepa Arrizabalaga memberi kesan besar apabila harapan memburu empat trofi kini hanya tinggal dua dalam tempoh singkat.

Pada masa sama, Manchester City dilihat semakin mempamerkan momentum terbaik, termasuk kemenangan dalam final Piala Liga serta membelasah Liverpool 4-0 dalam aksi suku akhir Piala FA.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong Arsenal bahawa tekanan berkenaan boleh memberi ruang kepada City untuk merapatkan jurang dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Namun, Arsenal masih memiliki kelebihan sembilan mata di puncak liga selain prestasi baik di pentas Liga Juara-Juara Eropah, sekali gus mengekalkan peluang meraih kejayaan musim ini. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN