Konflik Asia Barat: Kos operasi kilang meningkat

Konflik Asia Barat: Kos operasi kilang meningkat

KAPAL kargo dan tangki belayar berhampiran bandar pesisir Fujairah, di Selat Hormuz pada 25 Februari lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pembuatan negara berdepan kenaikan kos bahan api, pengangkutan, surcaj risiko peperangan dan premium insurans kargo marin hingga 400 peratus berikutan konflik Asia Barat yang menyebabkan ketidaktentuan pasaran global.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, gangguan perkapalan telah memanjangkan masa transit dan mengurangkan tahap kebolehpercayaan dan menjejaskan perancangan pengeluaran serta pemenuhan pesanan eksport. 

“Peningkatan keseluruhan kos itu adalah ketara dan berbeza-beza mengikut sektor serta laluan perkapalan.

“Cabaran logistik terbesar termasuklah peralihan laluan kapal melalui Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di Afrika Selatan yang memanjangkan tempoh pelayaran sehingga 14 hari.

“Gangguan itu telah memacu kenaikan caj pengangkutan terutamanya peningkatan premium insurans kargo marin antara 200 peratus hingga 400 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, harga diesel industri untuk pengguna tanpa subsidi telah meningkat lebih daripada dua kali ganda di peringkat domestik.

“Kesemua tekanan itu mengakibatkan peningkatan kos operasi yang besar bagi pengilang di setiap peringkat rantaian nilai.

“Kumpulan yang paling teruk terjejas adalah sektor-sektor yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap rantaian bekalan global serta input berasaskan petroleum,” katanya.

Tambahnya, ia merangkumi sektor elektrik dan elektronik (E&E), bahan kimia, bekalan perubatan, produk getah, komponen automotif, pembuatan makanan serta plastik dan pembungkusan. 

“Pembuatan dalam sektor itu bergantung kepada input strategik seperti resin, bahan mentah petrokimia, sulfur dan bahan kimia industri yang pada ketika ini sedang bergelut dengan masalah kekangan bekalan serta kenaikan harga pasaran.

“Beberapa syarikat pembuatan mula bertindak menyelaraskan jadual pengeluaran mereka disebabkan oleh kelewatan bekalan bahan mentah serta ketidaktentuan masa penghantaran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, risiko pengurangan kapasiti pengeluaran dijangka akan terus meningkat sekiranya gangguan berpanjangan terutamanya bagi syarikat yang beroperasi dengan penampan inventori pada paras dua hingga enam minggu. 

“Jika krisis terus berlarutan, impaknya dijangka menjadi lebih meruncing dalam beberapa minggu akan datang sebaik sahaja tahap inventori semasa mula menyusut. 

“Krisis yang berpanjangan akan memberi kesan buruk yang lebih luas ke atas kesinambungan operasi dan prestasi eksport negara,” katanya.

Menurutnya, mencari pembekal alternatif, menambah stok inventori, menyusun semula jadual pengeluaran dan menggunakan laluan perkapalan ganti walaupun lebih mahal adalah beberapa langkah operasi kecemasan.

“Terdapat syarikat yang memilih inisiatif menyatukan penghantaran dan merundingkan semula tempoh penghantaran bersama pelanggan.

“Syarikat juga memfokuskan kepada pesanan yang lebih tinggi nilai dan sensitif terhadap masa demi memastikan kesinambungan aliran tunai syarikat.

“Langkah intervensi tersebut hanya sekadar mampu memberi kelegaan jangka pendek yang sangat terhad dan tidak mencukupi untuk menampung skala gangguan yang sedang berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peralihan kepada pembekal alternatif bukan sahaja menuntut kos baharu yang tinggi tetapi juga tempoh menunggu yang lebih lama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×