Tempoh dos kedua AstraZeneca dipendekkan 9 minggu - Utusan Malaysia

Tempoh dos kedua AstraZeneca dipendekkan 9 minggu

VAKSIN AstraZeneca yang diberikan pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai sejuta penerima dos pertama vaksin AstraZeneca di negara ini akan menerima suntikan kedua dalam tempoh sembilan minggu daripada suntikan pertama dan bukan lagi 12 minggu seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, keputusan terbabit dibuat susulan ketibaan satu juta dos vaksin sumbangan Kerajaan Jepun hari ini sekali gus menjadikan jumlah vaksin AstraZeneca Malaysia setakat 1 Julai 2021 adalah sebanyak 1,828,000 dos.

Katanya, atas faktor itu, Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) memutuskan untuk memendekkan jarak suntikan dos bagi vaksin AstraZeneca kepada sembilan minggu.

“Hasil penilaian barisan pakar dalam JKJAV yang turut dianggotai Kementerian Kesihatan mendapati jarak terbaharu ini masih lagi dapat mengekalkan tahap keberkesanan sama yang maksimum untuk perlindungan sewajarnya kepada penerima vaksin tersebut.

“Tempoh jarak antara dos pertama dan kedua AstraZeneca yang diputuskan ini masih selari dengan garis panduan yang ditetapkan syarikat pengeluar AstraZeneca sendiri iaitu di antara empat hingga 12 minggu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, bekalan vaksin yang diterima secara pukal itu tiba menggunakan pesawat Japan Airlines (JAL723) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pukul 5.45 petang, hari ini.

Selain Khairy, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka turut berada di KLIA menyaksikan ketibaan vaksin berkenaan.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, sumbangan ini juga melambangkan keprihatinan Jepun dan kepercayaan mereka terhadap kerajaan Malaysia dalam memerangi pandemik Covid-19 dunia.

Sementara itu, Oka berkata, Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga menyampaikan mesejnya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ini adalah lambang kerjasama erat antara Jepun dan Malaysia.

“Tahun depan menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Jepun-Malaysia dan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur. Kerjasama Jepun-Malaysia dalam memerangi penularan Covid-19 bukan hanya pada pemberian vaksin semata-mata, sebaliknya kerajaan turut menyumbang bantuan kemanusiaan dan peralatan perubatan serta berhasrat terus bekerjasama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.