KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Saint Kitts and Nevis tidak serik mengulangi kesalahan sama meskipun telah dijatuhkan hukuman kerana berlabuh secara haram di perairan negara.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu sekali lagi ditahan pihaknya di kedudukan 10.5 batu nautika timur laut Tanjung Penawar, sekitar pukul 2 petang semalam.
Katanya, kapal tersebut pernah ditahan pada 20 Disember tahun lalu atas kesalahan sama dan didenda RM50,000.
“Penahanan kali ini dilakukan kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan operasi di sekitar perairan terbabit dan mengesan kapal tersebut berlabuh secara haram.
“Pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan 10 kru terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar berusia di antara 24 hingga 56 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kapal mendapati nakhoda telah gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dan mengikut rekod penahanan ini adalah kali kedua ke atas kapal yang sama dalam tempoh kurang setahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Nurul Hizam, kapal dan kru ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Jelasnya, sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Penahanan ini telah menunjukkan bahawa masih terdapat kapal-kapal yang masih berdegil dan cuba mencabar undang-undang negara.
“Maritim Malaysia akan terus bekerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia (JLM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membanteras isu kapal-kapal yang bersauh secara haram di perairan Johor.
“Kita juga akan sentiasa memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara terjamin dan terpelihara, bagi sebarang aduan salah lalu jenayah maritim di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999.










