Sultan Johor perkenan solat 50 jemaah di masjid - Utusan Malaysia

Sultan Johor perkenan solat 50 jemaah di masjid

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan 50 jemaah bagi mendirikan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha di semua masjid di negeri ini bermula Jumaat ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md. Rofiki Samsudin, hari ini.

Kebenaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim sebagai Ketua Agama Islam negeri sebagaimana peruntukan Fasal 57(A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.

Menurut kenyataan itu, bilangan jemaah adalah dari kalangan imam, bilal dan noja, ahli jawatan kuasa pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah yang digilirkan di kawasan itu sahaja.

Katanya, bagi surau Jumaat dan surau Jumaat sementara, hanya 20 jemaah dari kalangan imam, bilal dan noja, ahli jawatan kuasa pengurusan kariah masjid dan surau serta ahli kariah yang digilirkan di kawasan itu juga sahaja.

Tambahnya, kebenaran itu demi menjaga dan menghidupkan syiar Islam di negeri ini dengan membenarkan solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di masjid dan surau Jumaat serta surau yang diberi kebenaran Jumaat sementara.

“Bagi solat fardhu lima waktu di masjid dan surau, hanya 20 orang jemaah  dari kalangan sama. Ahli jawatan kuasa pengurusan kariah masjid dan surau serta jemaah yang hadir ke masjid atau surau mestilah telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 kecuali kepada imam, bilal dan noja yang bertugas.

“Kebenaran ini berkuat kuasa pada waktu solat Subuh pada Jumaat ini hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ),” katanya. 

Menurut kenyataan itu juga, Sultan Ibrahim bertitah mana-mana jemaah lelaki yang mukallaf dan tidak mendapat giliran hadir solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat hendaklah menunaikan solat Zohor di rumah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya