Sudah tiba masanya Akta Pendanaan Politik disegerakan - Utusan Malaysia

Sudah tiba masanya Akta Pendanaan Politik disegerakan

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Walaupun Pakatan Harapan (PH) dan YB (Yang Berhormat) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman cuba mempolitikkan pendakwaan, yang lebih penting ialah Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan”.

Demikian kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengulas berkenaan isu pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Muar itu membabitkan pertuduhan pecah amanah.

“Saya gembira pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah positif dan memperkenalkan peraturan lebih berwibawa berkaitan pendanaan politik. Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu tidak serius mewujudkan peraturan tersebut. Saya pernah dilantik kerajaan menyertai sebuah jawatankuasa berkaitan pendanaan politik semasa era Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi entah apa berlaku kepada laporan yang kami sediakan.

“Semasa era PH saya dilantik semula menyertai Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ada laporan komprehensif yang telah disediakan. Alhamdulillah, kerajaan PN menerima laporan itu dengan baik dan telah dibawa ke Kabinet. Saya lihat ada pergerakan yang positif sekarang,” katanya.

Beliau mungusulkan kepada Kabinet agar diputuskan segera bagaimana untuk melaksanakan penambahbaikan yang dicadangkan oleh ERC, termasuk dalam hal pendanaan politik.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM1 juta dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mengulas mengenai isu pendakwaan tersebut, beliau berharap agar Syed Saddiq segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya benar diugut untuk didakwa kerana tidak menyertai PN dan sekiranya tidak, hentikan lakonan supaya segala simpati tidak hilang begitu sahaja.

“PH pula cuba menangguk di air yang keruh, mendakwa kononnya curiga kenapa pendakwaan baru dilakukan sekarang sedangkan kesalahan itu berlaku sebelum PRU-14. Saya nak tanya kembali kepada PH, kalau dah tahu kesalahan itu berlaku sebelum PRU-14, kenapa semasa PH memerintah Syed Saddiq tidak didakwa? Adakah berlaku ‘pengecualian terpilih’ yang tidak dimaklumkan kepada kami yang turut berada dalam PH masa itu?

“Kalau curiga, sebenarnya PH yang perlu jawab hal ini sebab curiga itu wujud di zaman PH. Bukan sekarang. Adakah ada apa-apa yang PH sembunyikan selama ini? Saya tengok peguam DAP begitu menonjol dalam mempertahankan kes ini,” katanya.

Menurutnya, jika tidak diselesaikan segera, isu Syed Saddiq mungkin menjadi lebih besar. Contohnya, selain daripada kes yang beliau hadapi, bagaimana dengan sumbangan yang beliau raih daripada masyarakat untuk kos peguam dan ikat jamin?

“Para penderma sudah pasti ikhlas mahu membantu, dan Syed Saddiq pun sudah nyatakan bahawa beliau akan menyediakan laporan audit. Tetapi adakah dana tersebut akan dikenakan cukai? Adakah dana itu perlu dilaporkan sebagai pendapatan individu atau pendapatan syarikat, atau pendapatan apa? Adakah kos peguam peribadi termasuk sebagai dana politik?” soalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya