“Sudah meletuplah!” - Utusan Malaysia

“Sudah meletuplah!”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI kisah yang berlaku sebelum musim Covid-19. Ia dialami oleh rakan saya bernama Mad.

Geram betul dia ketika bercerita pengalamannya kepada saya. Kata Mad, dia mengambil seorang penumpang di sebuah pusat hiburan dalam kawasan Subang Jaya. Lokasi penghantaran adalah ke Mentari Court, Petaling Jaya

“Bila dia naik saja kereta saya, tu dia …semerbak bau arak. Dia duduk di depan. Kemudian, dia cakap, ‘okey, bawa saya Melaka ya.

“Eh, bila masa pula hendak ke Melaka? Saya beritahu dia, lokasi ke Mentari Court saja. Lelaki itu cakap, tak apa, saya bayar.

“Dia tunjuk duit berkepuk, saya agak ada dalam RM2,000. Saya layan saja, sebab tahu dia mabuk. Dekat hendak sampai Mentari Court itu, tiba-tiba dia menjerit.

“Ayooo…sudah letuplah, katanya. Saya tanya apa yang meletup. Dia cakap, sudah letup. Jangan marah sayalah, dia kata,” cerita Mad.

Kata Mad, bila hendak membuat pembayaran, penumpang itu mengira duit seringgit-seringgit. Tambang tak banyak pun, sekadar RM12.

“Bila nak keluar dia cakap, dia ada emas dan beri saya segenggam. Hendak tahu emas apa? Duit syiling saja. Saya tergelak tapi layankan saja orang mabuk,” kata Mad.

Di dalam kereta, Mad terpegang kerusi di sebelahnya basah. Aduh, penumpang yang menjerit sambil kata meletup tadi rupanya terkencing di atas kerusi tersebut.

“Punyalah sakit hati saya. Saya telefon Grab dan mereka minta bukti untuk bayar pampasan. Mana pula saya hendak beri bukti.

“Akhirnya saya lap sajalah. Esoknya bila hendak keluar bekerja, punyalah busuk kereta saya. Bau hancing!

“Saya bawa kereta untuk dicuci tetapi kedai cuci kereta minta RM200. Gila mahal! Memang tak naklah saya,” kata Mad.

Akhirnya apa yang dia buat? Menggunakan pelbagai bahan pencuci dan peluntur, Mad menyental kerusi tersebut bagi menghilangkan bau kencing itu.

“Apa yang saya sakit hati, tiga hari saya tak bekerja sebab bau itu melekat kuat. Tak tergamak saya hendak bawa Grab.

“Saya sental betul-betul bagi hilang bau. Marah dan geram betul saya sebab hilang pendapatan tiga hari gara-gara penumpang mabuk.

“Orang lain ‘kena kencing’ sebab duit tapi saya pula betul-betul kena kencing,” cerita Mad sambil ketawa.

Selepas kejadian tersebut, Mad memang serik mengambil penumpang mabuk! Baginya, cukuplah sekali dia terseksa menghilangkan ‘haruman’ kencing orang dewasa!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN