Op Tiris bukti keberkesanan, rampasan cecah RM260 juta - KPDN

Op Tiris bukti keberkesanan, rampasan cecah RM260 juta – KPDN

AZMAN Adam ketika sidang akhbar pencapaian Op Tiris KPDN di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Operasi mengekang ketirisan barang kawalan melalui Op Tiris terbukti berkesan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan rampasan bernilai kira-kira RM260 juta setakat ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi berkenaan yang dilaksanakan sejak 2023 turut menghasilkan sebanyak 6,773 kes dengan tangkapan melibatkan 2,219 individu.

Beliau berkata, daripada jumlah tangkapan itu, hampir 80 peratus adalah melibatkan warganegara tempatan, sekali gus menunjukkan penglibatan serius dalam aktiviti penyelewengan dalam kalangan rakyat sendiri.

“Op Tiris bermula pada 1 Mac 2023 menerusi Op Tiris 1.0 sebelum diteruskan kepada 2.0 dan diperkasa melalui Op Tiris 3.0 dengan memperluaskan skop pemantauan daripada hanya diesel kepada lima komoditi utama lain iaitu LPG, petrol RON95, gula, minyak masak dan tepun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Azman berkata, sebanyak 138,849 pemeriksaan telah dilaksanakan di bawah Op Tiris di seluruh negara termasuk menempatkan pegawai penguat kuasa di lapan pintu masuk negara.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 124,477 kenderaan telah diperiksa di pintu masuk tersebut dengan 14 kes berjaya dikesan.

Azman berkata, pelaksanaan Op Tiris 4.0 sejak 16 Mac lalu menunjukkan hasil memberangsangkan apabila sebanyak 377 kes direkodkan dalam tempoh kira-kira sebulan yang turut melibatkan tangkapan seramai 107 individu dengan nilai rampasan hampir RM17 juta.

“Sebanyak 166 kes melibatkan diesel dengan rampasan sebanyak 1.126 juta liter, selain 78 kes petrol dan 49 kes LPG dengan Sarawak mencatatkan jumlah kes tertinggi bagi diesel diikuti Sabah, Kelantan dan Johor, manakala Kelantan pula merekodkan kes tertinggi bagi petrol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×