BATU PAHAT: Seorang pengarah syarikat didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberikan maklumat palsu berkaitan penjualan minyak masak peket bersubsidi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, wanita tempatan berusia 70-an itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Osman Effendi Mohd. Shalleh.
Katanya, perbuatan itu dikesan ketika pemeriksaan Op Tiris oleh pegawai penguatkuasa KPDN Cawangan Batu Pahat bersama Jabatan Audit Negara ke atas sebuah syarikat pemborong dan pembungkus berlesen di daerah itu pada 13 Ogos 2024.
“Semasa pemeriksaan, dokumen dan pengisytiharan stok minyak masak syarikat didapati meragukan dan tidak selaras dengan maklumat rantaian peruncit.
“Sebanyak 29,590 kilogram minyak masak bernilai RM73,975 telah disita dan tindakan telah diambil kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu enggan atau sengaja memberi maklumat palsu dalam mengemukakan dokumen atau maklumat penjualan minyak masak,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Lilis Saslinda, kejayaan pendakwaan ini menunjukkan komitmen kementerian dalam membanteras penyelewengan barang kawalan dan subsidi serta memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang layak. – UTUSAN











