Op Tiris 4.0: 71,601 pemeriksaan, 869 kes ketirisan dikesan

Op Tiris 4.0: 71,601 pemeriksaan, 869 kes ketirisan dikesan

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 71,601 pemeriksaan dan operasi penguatkuasaan telah dijalankan menerusi kerjasama rentas agensi di bawah Ops Tiris 4.0 yang dilaksanakan sejak 16 Mac lepas sehingga semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah penguatkuasaan tersebut, sebanyak 869 kes ketirisan bahan api dikesan di seluruh negara.

“Sebanyak 554 kes melibatkan bahan api bersubsidi. Daripada 554 kes tersebut pula, sebanyak 291 kes direkodkan berlaku di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya menerusi sidang akhbar pembaharuan penyasaran subsidi Budi Madani Diesel di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menegaskan pelaksanaan subsidi bersasar menerusi penggunaan MyKad dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) berjaya membantu mengurangkan ruang ketirisan bahan api bersubsidi walaupun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperkukuh.

Beliau menjelaskan, mekanisme itu berfungsi sebagai langkah pengurusan risiko bagi memastikan dana subsidi disalurkan kepada kumpulan sasar selain mengurangkan impak penyalahgunaan.

“Walaupun mungkin belum dapat menutup ketirisan secara menyeluruh dan masih ada ruang yang wujud, pelaksanaan melalui penggunaan MyKad dan SKDS merupakan satu bentuk mekanisme pengurusan risiko yang membolehkan kita mengecilkan ruang ketirisan yang berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN