Suami isteri buka pusat pengumpulan pakaian, bank makanan - Utusan Malaysia

Suami isteri buka pusat pengumpulan pakaian, bank makanan

SEORANG penduduk mengambil barangan makanan  di ‘free market’ yang disediakan Mohd. Sani Ibrahim (kiri) di Kampung Gelugur di Kertih, Kemaman hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN:  Pasangan suami isteri yang merupakan peniaga kedai makan di Kampung Gelugur di Kertih di sini, mengambil inisiatif mewujudkan pusat pengumpulan pakaian dan bank makanan bersebelahan premisnya bagi meringankan beban golongan memerlukan bantuan di kawasan sekitar.

Mohd. Sani Ibrahim, 62, berkata, dia dan isteri, Salmah Muda, 55, terpanggil untuk menyediakan pusat berkenaan kerana simpati dengan nasib rata-rata penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, bermula dengan hanya meletakkan pakaian peribadi, kini pusat dikenali sebagai free market itu semakin mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai termasuk para penyumbang.

“Pada mulanya hanya melibatkan pakaian kami dan selepas hebahan di laman Facebook, ramai kawan-kawan pula menyumbang termasuk ada yang meletakkan barangan makanan.

“Kami menerima semua jenis barangan sama ada pakaian, makanan, buku mahu pun mainan untuk dimanfaatkan oleh golongan sasar,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, seorang pembantu kedai makan, Nor Amyliana Jusoh, 29, berkata, inisiatif berkenaan melegakan keluarganya yang kini dalam kesempitan sejak suaminya diberhentikan kerja Ramadan lalu.

“Saya ternampak free market ini dibuka, walaupun malu tetapi saya terpaksa juga datang mengambil barangan dapur dan lampin pakai buang anak yang hanya tinggal beberapa keping,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN