SOP: Asrama pekerja jadi sasaran polis - Utusan Malaysia

SOP: Asrama pekerja jadi sasaran polis

M. V. Srikumar (kanan) meninjau asrama pekerja warga asing di Kawasan Perindustrian Bukit Bakri, Muar, di Johor. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Tidak hanya memberikan perhatian di kawasan kilang-kilang, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) turut dipantau secara ketat oleh polis di kawasan asrama pekerja warga asing.

SAC Gerakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner M. V. Srikumar berkata, melalui penguatkuasaan operasi patuh yang bermula hari ini, lokasi penginapan menjadi sasaran pihaknya berikutan jumlah kes tinggi di kawasan industri.

“Jika kita lihat di kawasan kilang kebanyakan majikan patuh SOP dengan baik, namun di asrama pekerja lain pula jadinya. Masih ramai majikan yang gagal memantau penginapan pekerja.

“Ini menyumbang kepada penularan jangkitan apabila warga asing mudah bercampur tanpa ada penjarakan fizikal dan lebih membimbangkan adalah kawasan di asrama berpusat kerana penginapan mereka saling berkongsi dengan pekerja dari kilang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan Op Pematuhan di kawasan perindustrian dan asrama pekerja di Bukit Bakri di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamil Hasni Abdullah.

Menurut Srikumar, majikan perlu mengehadkan jumlah penghuni dalam sesebuah asrama bagi mengawal penjarakan fizikal sekali gus mengurangkan penyebaran jangkitan.

“Dalam kumpulan pemantau, saya dapati kilang mematuhi SOP, namun asrama sebaliknya. Majikan perlu ambil langkah tegas kerana kita tak mahu kes Covid-19 yang tinggi melibatkan kawasan industri.

“Kegagalan majikan mematuhi SOP akan menjejaskan kilang untuk beroperasi, jadi sebaiknya mereka mengambil langkah berjaga-jaga. Kalau sebelum ini, kita kurang memberikan tumpuan kepada penginapan, namun kini, sudah tiba masa untuk polis memberi perhatian di kawasan itu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakan Op Patuh bermula 1 Julai dengan memberi fokus secara bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP di kilang dan premis perniagaan yang beroperasi, termasuk penyalahgunaan surat kelulusan dikeluarkan oleh kementerian, jabatan atau agensi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN