Singapura sambut Aidiladha pada 20 Julai, Brunei pula keesokannya

Singapura sambut Aidiladha pada 20 Julai, Brunei pula keesokannya

MOHD. Tashim Hassan ketika pengumuman tarikh Hari Raya Aidiladha yang disiarkan melalui slot Berita Jam 8 di saluran televisyen RTB malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di Singapura akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini, sama dengan Malaysia susulan tarikh 1 Zulhijjah 1442 bermula selepas azan Maghrib tadi.

Menurut laporan MediaCorp disiarkan menerusi stesen radio Warna FM dan saluran TV Suria milik pemerintah, pengisytiharan diumumkan oleh Mufti Negara, Dr. Naziruddin Mohd. Nasir.

“Mengikut kiraan hisab berdasarkan kriteria imkanur rukyah, anak bulan Zulhijjah berada di atas ufuk Singapura selama 20 minit setelah terbenam matahari pada petang tadi,” katanya.

Justeru, beliau dengan sukacita mengisytiharkan Hari Raya Haji kali ini jatuh pada 20 Julai sambil menyeru masyarakat Muslim di republik itu meraikan dengan selamat dan bahagia.

Pengumuman tersebut juga seiring dengan pengisytiharan di negara ini apabila Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd. Aseral Jusman memaklumkan pada tarikh yang sama.

Berbeza daripada Singapura, Malaysia bagaimanapun mengguna pakai kaedah hisab dan rukyah secara serentak bagi penetapan takwim penting Islam khasnya Ramadan dan Syawal.

Sejumlah 29 lokasi digunakan untuk proses pencerapan anak bulan pada petang tadi selain kiraan falak syarie sebelum dimuktamadkan setelah diberi perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu di Brunei pula, kesemua saluran Radio Televisyen Brunei (RTB) melaporkan anak bulan Zulhijjah tidak kelihatan di negara itu pada petang tadi menjelang waktu maghrib.

Sehubungan itu, setelah diperkenankan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, bulan Zulkaedah kali ini digenapkan cukup 30 hari dan tarikh 1 Zulhijjah akan bermula Isnin ini.

Menerusi pengumuman rasmi oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Brunei, Pengiran Datuk Seri Setia Mohd. Tashim Pengiran Hassan, Aidiladha di negara itu disambut pada 21 Julai.

Berlainan daripada Malaysia, Brunei mengamalkan penentuan tarikh awal bulan Islam melalui kaedah rukyah sahaja iaitu penglihatan anak bulan di lima lokasi ditetapkan pihak kerajaan.

Ia berdasarkan rumusan daripada keputusan Persidangan Majlis Agama Islam Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) Keempat di Bandar Seri Begawan pada 1993. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.