SUDAH agak lama kita tidak membaca dan mendengar cerita-cerita gembira. Hari-hari yang kita lihat dalam media sosial adalah berita sedih, sakit, susah, murung dan kehilangan orang tersayang.
Dan pandemik ini juga telah membongkar banyak kisah derita dan duka, warna sebenar seseorang dan perangai jahat yang tersorok sekian lama.
Berita merogol kanak-kanak dan remaja atau gangguan seksual yang dilakukan oleh ahli keluarga sendiri dan penderaan terhadap isteri dan anak, banyak kali kita baca dalam tempoh PKP ini.
Duduk di rumah dengan membaca berita-berita sebegini, ditambah pula dengan setiap petang mengetahui kes Covid-19 di negara ini sudah mencapai belasan ribu dalam sehari, ini semua menyesakkan dada!
Terbaru, kita dikejutkan dengan kisah penderaan fizikal terhadap adik Bella berusia 13 tahun yang mengalami sindrom down yang ditemukan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.
Saya tidak melihat sampai habis video dan gambar tentang adik Bella yang tular itu. Saya tidak sanggup. Melihat sekejap saja sudah buat saya trauma. Inikan pula remaja sekecil itu yang menanggung sakitnya.
Apakah jenis manusia yang mencederakan anak syurga ini? Adakah dia selayaknya dipanggil manusia? Apa pun kecaman hebat kita pada si pelaku, ia tidak membawa apa-apa makna, sekiranya penjenayah ini terlepas begitu saja.
Sebatang kara dan mengalami sindrom down tidak bermakna dia boleh dilayan sebegitu. Dia bukan bola yang boleh disepak terajang ke mana-mana. Bella punya hak yang sama dengan semua orang untuk hidup bahagia di muka bumi ini.
Betul, makhluk kejam yang menyakiti Bella tidak sepatutnya diberi ruang bebas dalam dunia ini. Yang salah patut dihukum, bukan dilindungi apatah lagi dikasihani.
Keadilan untuk Bella! Saya bersama semua warganet yang mahu pelaku Bela dihumban ke penjara. Ya, anak ini wajib dibela. Pelakunya perlu mendapat balasan. Balasan di dunia yang kita mahukan. Di akhirat itu sudah pasti.
Justeru kita berharap pihak polis segera menjalankan siasatan tanpa diganggu oleh pihak berkepentingan. Jangan buka beberapa kali kertas siasatan kemudian tutup. Ini jenayah membabitkan nyawa. Tak akan tiada sesiapa yang melakukan perbuatan terkutuk ini terhadap Bella?
Jangan nanti ada yang mengatakan Bella terjatuh atau mencederakan diri sendiri. Yang boleh kita lihat dalam gambar yang tular kecederaan sehingga di belakang mangsa. Ada luka baru dan parut lama. Tak akan budak itu saja-saja menyakitkan diri sendiri hingga ke belakang badannya.
Dan jangan pula ada pihak membela dan bersekongkol dengan penjenayah ini. Kita semua sudah cukup murung dengan apa yang dilalui Bella. Berilah kita berita gembira bahawa pendera Bella sudah ditangkap dan akan dihukum setimpal dengan perbuatannya
Sehingga kini kita terus tertanya-tanya. Siapa buat Bella? Ini persoalan besar yang berlegar-legar dalam kepala semua orang kini dan ia pasti ada jawapannya.
Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepatutnya membuat pemantauan dan lawatan setelah menyerahkan kanak-kanak di bawah jagaannya ke rumah perlindungan. Bukan terus serah dan habis di situ. Apatah lagi yang diserahkan itu budak OKU. Yang perlukan perhatian dan penjagaan yang lebih daripada kanak-kanak biasa. Bukannya anak kucing.
Dan jika benar dakwaan dalam media sosial, Bella diberikan hak penjagaan oleh mahkamah kanak-kanak kepada rumah perlindungan bolehkah dia dipisahkan daripada rumah tersebut dan dijaga oleh individu pula?
Bella perlu dibela. Anak istimewa ini tidak patut melihat dunia ini hanya tentang kesakitan, kelaparan, kebencian dan kesedihan. Jangan sesiapa pun mengajarnya begitu. Jangan.
PENULIS ialah Pengarang Berita, Mingguan Malaysia.










