MB Perlis umum potong gaji RM3,000, exco RM1,500 setiap bulan

MB Perlis umum potong gaji RM3,000, exco RM1,500 setiap bulan

ABU Bakar Hamzah (kanan) merekodkan cap jari di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Seri Putra, Perlis, sebagai sombolik memulakan tugasan rasmi hari ini. -UTUSANIZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Menteri Besar Perlis baharu, Abu Bakar Hamzah mengumumkan pemotongan gaji beliau sebanyak RM3,000 pada setiap bulan.

Selain itu, gaji exco kerajaan negeri yang bakal dilantik selepas ini juga akan turut dipotong sebanyak RM1,500 sebulan.

Abu Bakar berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha dilakukan beliau bagi menstabilkan ekonomi rakyat termasuk membantu mengurangkan bebanan kewangan negeri.

“Kita kena memberi khidmat kepada rakyat serta negeri dan disebabkan itu saya dengan rela hati bersetuju dengan pemotongan gaji ini,” katanya selepas sesi clock in di Pejabat Menteri Besar, hari ini.

Semalam, Abu Bakar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis Kesembilan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau.

Beliau dilantik susulan krisis didakwa melanda kerajaan negeri sebelum ini apabila lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) Perlis dikatakan telah bertemu Raja Perlis dengan majoriti menyatakan telah hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Abu Bakar berkata, tugas yang diamanahkan kepada beliau merupakan satu tanggungjawab besar dan akan diteruskan demi kebaikan rakyat dan negeri ini.

“Saya yakin dan percaya dengan kepimpinan dan pengalaman sedia ada oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bersama pegawai-pegawai kerajaan negeri dapat membantu untuk hasilkan pentadbiran yang sempurna.

“Dan apa yang kita lakukan ini adalah bertujuan untuk semarakkan dan menaikkan imej negeri,” katanya.

Tambah Abu Bakar, beliau juga berikrar akan memastikan segala amanah yang diberikan menerusi pelantikan itu dapat dilaksanakan dan menjadi realiti.

“Saya sebagai orang yang menerima amanah dan dilantik dengan perkenan Raja Perlis amat menyanjung tinggi dan berikrar untuk pastikan setiap yang diamanahkan ini menjadi realiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN