PETALING JAYA: Kemelut politik di Perlis didakwa berpunca daripada kegagalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menguruskan masalah dalaman gabungan itu.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sebagai pengerusi gabungan yang turut dianggotai Pas itu, Muhyiddin sepatutnya bertindak proaktif dengan memanggil mesyuarat sebaik wujud tanda pergolakan bagi mengelakkan krisis berpanjangan.
katanya, apa yang menghairankan sehingga kini tiada mesyuarat PN diadakan khusus bagi membincangkan situasi di Perlis walaupun kemelut berkenaan telah berlarutan selama beberapa bulan.
“Kenapa Muhyiddin tidak memanggil mesyuarat PN untuk menentukan calon Menteri Besar daripada gabungan itu? Mengapa Bersatu menghantar satu surat manakala Pas pula menghantar surat yang lain?
“Ini jelas menunjukkan kegagalan kepimpinan di peringkat tertinggi PN untuk menyelaraskan keputusan dan mengurus perbezaan pandangan antara parti komponen,” katanya dalam kenyataan.
Kemelut politik Perlis membawa kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar berikutan penarikan sokongan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Bagaimanapun kemelut tersebut berakhir selepas Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri itu, Abu Bakar Hamzah yang juga ADUN Kuala Perlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.
Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan cadangan sesetengah pihak supaya Pas meninggalkan PN adalah tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip penyatuan.
“Adalah janggal apabila kita bercakap mengenai penyatuan ummah tetapi pada masa sama memilih jalan yang memecahkan kesatuan sedia ada,” ujarnya.
Sebaliknya, beliau berpandangan langkah terbaik adalah Pas mengambil alih jawatan Pengerusi PN bagi melaksanakan pembaikan yang telah dicadangkan sebelum ini.
“Parti-parti komponen lain seperti Gerakan seharusnya menerima Pas sebagai Pengerusi PN dengan hati terbuka. Saya sedar terdapat kebimbangan dalam kalangan parti komponen bukan Melayu namun jika disusun dengan baik, kebimbangan tersebut boleh diuruskan.
“Kita perlu ingat, Pas bukan parti yang mentadbir secara semberono. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya. – UTUSAN










