PUTRAJAYA: Biarpun ‘berpindah’ ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pelajar kelas peperiksaan di Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan meneruskan sesi pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan, sesi PdPR itu adalah sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai ini bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai bagi negeri Kumpulan B.
Katanya, Takwim Persekolahan Kementerian Pendidikan Tahun 2021 adalah kekal seperti yang diumumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin dalam sidang akhbar pada 6 Jun lalu.
“Pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai (negeri Kumpulan A) dan 26 Julai (bagi negeri Kumpulan B) akan dibuat sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan tersebut bermula.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan berkaitan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi lima negeri itu berkuat kuasa mulai esok.
Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan.
MKN juga memberi kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan yang terlibat sekiranya sekolah dibuka.










