PUTRAJAYA: Kes positif Covid-19 di tempat kerja mencatatkan 18 kluster daripada 31 kluster yang direkodkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selain kluster tempat kerja, komuniti mencatatkan lapan kluster manakala kumpulan berisiko tinggi dan pusat tahanan, masing-masing dua kluster serta import, satu kluster.
Selangor mencatat rekod apabila hanya satu kluster dikesan di negeri itu iaitu kluster tempat kerja Industri Persiaran Sultan di Klang, Selangor dengan 54 kes positif.
Bagi perkembangan kes harian pula, katanya, Malaysia terus merekod kes positif Covid-19 melebihi 10,000 kes iaitu 10,972 kes sekali gus mengatasi kes sembuh iaitu 6,439 kes.
“Sebanyak 129 kematian dicatatkan dengan 915 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 435 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 128,997 kes aktif,” katanya.
Beliau berkata, Selangor terus menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan sebanyak 4,404 kes diikuti Negeri Sembilan (1,340), Johor (876), Kedah (705), Sabah (651), Kuala Lumpur (609), Pahang (475), Melaka (474), Pulau Pinang (426), Perak (324) dan Sarawak (301).
Mengulas mengenai 129 kematian, Noor Hisham berkata, Selangor menjadi penyumbang terbanyak korban Covid-19 iaitu 61 kes, 14 kes di Kedah, 11 kes di Kuala Lumpur, masing-masing 10 kes di Negeri Sembilan dan Melaka, sembilan kes di Johor, masing-masing tiga kes di Sarawak dan Terengganu, masing-masing dua kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Perak, serta masing-masing satu kes di Kelantan dan Labuan.
“Kematian melibatkan seramai 80 lelaki dan 49 wanita dengan keseluruhan 11 kematian dalam kalangan warga asing manakala 13 pesakit meninggal dunia di rumah dan 105 orang mempunyai latar belakang penyakit,” katanya. – UTUSAN ONLINE










