RAWANG: Nazurah Nabilah Yajeed, 19, mengakui kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 adalah sesuatu yang sangat memeritkan dan memberi kesan yang besar kepada dirinya.
Malah, beliau yang baru sahaja memulakan pengajian semester satu dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik di politeknik di Mersing, Johor kini perlu menjaga tujuh adiknya dengan enam daripada mereka masih bersekolah.
Namun, sebagai kakak sulung, Nazurah Nabilah enggan terus bersedih sebaliknya mahu bersikap cekal di hadapan adik-adiknya supaya dapat meneruskan kehidupan dengan baik walaupun tanpa ibu bapa di sisi.
“Mula-mula memang rasa sedih tapi bila nampak adik menangis takkan saya nak menangis juga. Saya kena kuat, tak boleh tinggalkan mereka atau biar mereka rasa kehilangan begitu sahaja.
“Jangan terlalu sedih dan layan perasaan sampai kesihatan terjejas. Kena kuatkan semangat untuk teruskan hidup. Mereka kena sambung belajar juga, tak nak mereka terumbang-ambing. Apa pun terjadi, mereka kena kuat macam saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Beruntung di sini semalam.
Nazurah Nabilah turut berkongsi mengenai kata-kata terakhir ibu bapanya sebelum mereka pulang ke rahmatullah.
“Ibu cakap Along kena jaga adik-adik. Ayah pesan minta saya jaga adik-adik jangan berpisah. Walau apa terjadi, jangan berpisah,” katanya.
Bagaimanapun, Nazurah Nabilah meluahkan rasa terharu apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudi bertemu dengan dia dan adik-adiknya serta menyampaikan bantuan kepada keluarganya.
“Saya rasa gembira dan berdebar juga kali pertama jumpa. Adik-adik pun suka kunjungan Timbalan Perdana Menteri.
“Dapat bantuan ini memang melegakan dab boleh kurangkan beban adik-adik untuk sambung belajar. Sekarang tengah cuti semester, boleh bagi tenang adik-adik dulu…makcik pun tolong jaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE










