JOHOR BAHRU: Nahas jalan raya lima tahun lalu menjadi episod ngeri buat seorang pemuda apabila dia kini terpaksa berkerusi roda sepanjang masa ekoran keadaanya yang lumpuh separuh badan disebabkan kecederaan saraf tunjang.
Namun, perkara itu tidak mematahkan semangat Muhammad Haikal Rezky Nasruddin, 25. Walaupun kini berstatus orang kurang upaya (OKU), tetapi keinginan dan keazaman untuk mencari rezeki dengan usaha sendiri tidak pernah terpadam, cuma nasib belum menyebelahinya.
Mengakui kecewa apabila ada majikan yang menolak permohonan kerjanya kerana alasan tidak mampu berdiri, namun kata Muhammad Haikal, dia memiliki kemahiran seperti membaiki motosikal, kerja-kerja kimpalan dan perpaipan serta kelayakan yang mencukupi.
“Saya mencari kerja di pelbagai tempat tidak kira kedai makan, kilang, bengkel dan sebagainya tetapi semua ditolak. Antara alasan diberi adalah mereka mahukan orang yang boleh berdiri dan bukan duduk tetapi pada hakikatnya, saya memang ada kemahiran kerana sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dahulu, saya suka mencari pengalaman kerja di pelbagai tempat.
“Selain itu, saya juga memiliki Sijil Kursus Kejuruteraan daripada Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Chokoh, Pontian, semalam.
Muhammad Haikal berharap, majikan di negara ini tidak melihat kepada kekurangan fizikal mereka semata-mata dalam memberi peluang pekerjaan.
“Saya tahu dalam keadaan sekarang pula memang akan lagi susah untuk mendapat peluang pekerjaan apatah lagi yang normal pun ramai menganggur, cuma harapnya persepsi OKU tidak boleh bekerja seperti orang lain itu diketepikan dan ukurlah berdasarkan kemahiran dan kelayakan yang dimiliki,” katanya.
Jelas Muhammad Haikal, dia memerlukan pekerjaan kerana ingin meringankan beban keluarga apatah lagi ibu, Sidah Hamid, 52, sudah berusia manakala bapa, Nasruddin Salleh, 56, pula meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada Februari lalu.
“Biarpun menerima wang bantuan bulanan sebanyak RM300 masing-masing daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal, jumlah itu tidak mencukupi kerana saya juga perlu menanggung kos perubatan dan pemeriksaan kesihatan yang berjumlah kira-kira RM400 sebulan.
“Berkerusi roda tidak membataskan pergerakan saya kerana masih mampu menguruskan diri sendiri termasuk memandu kenderaan yang telah diubah suai untuk ke mana-mana.
“Saya belajar banyak perkara untuk hidup berdikari. Ini termasuk memandu menggunakan alat pemanduan tangan dan bagaimana nak memasukkan sendiri kerusi roda ke dalam kereta,” katanya.










