REMBAU: Kerajaan Negeri Sembilan menetapkan sasaran seramai 700,000 individu di negeri ini lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang 31 Ogos depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sasaran berkenaan susulan kadar vaksinasi yang tinggi setiap hari dan juga kejayaan 100 peratus pendaftaran vaksinasi penduduk berusia 18 tahun ke atas yang telah dicatatkan di negeri ini.
Sehubungan itu juga, tambah beliau, bagi mencapai sasaran berkenaan, penumpuan diberikan ke lokasi yang perlu ditingkatkan lagi kadar harian pemberian vaksin Covid-19.
“Kita akan cuba tingkatkan pemberian dos dalam usaha mencapai sasaran ini. Sehingga kini, seramai 533,674 individu telah menerima vaksin bagi dos pertama manakala sebanyak 207,612 individu telah menerima lengkap dua dos vaksin di negeri ini.
“Data terkini menunjukkan sehingga semalam jumlah vaksinasi harian bagi dos pertama dan kedua di negeri ini telah mencapai kepada hampir 24,000 individu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Biduanda, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar memaklumkan, kerajaan negeri juga kini dalam usaha memastikan Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagaimanapun menurutnya, peralihan berkenaan perlulah mengambil kira kepada jumlah kes jangkitan Covid-19 dan juga kadar vaksinasi di negeri ini.
“Kes masih tinggi, memang ada penurunan semalam dan hari ini naik sedikit tetapi kita kena kawal. Sekarang ada kes varian Delta di hampir setiap daerah di negeri ini seperti Seremban, Port Dickson serta Rembau.
“Kita mahu masyarakat berjaga-jaga dengan varian ini dan tidak mahu varian ini lebih mengganas,” katanya.
Aminuddin kemudian turut meluangkan masa bertemu anggota keselamatan yang bertugas Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Chembong Utama, Rembau. – UTUSAN