TAPAH: Biarpun rumah hanya berselang beberapa lorong, seorang lelaki terpaksa melupakan hasrat untuk beraya bersama bapanya kerana kawasan perumahan mereka di Taman Sri Bidor di sini berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Taman Sri Bidor antara 13 lokaliti dalam Mukim Batang Padang dan Mukim Bidor yang dikenakan PKPD bermula esok sehingga 2 Ogos ini.
Selain itu, tiga lokaliti turut dikenakan PKPD iaitu Taman Melor Fasa 1 di Hilir Perak dan Kampung Batu 19 ½ dan Kampung Batu 20 di Mukim Batu Kurau, daerah Larut, Matang dan Selama (LMS).
Menurut Mohd. Hafiszun Abdullah Sharkhahwi, 36, perasaannya bercampur-baur selepas mengetahui kawasan rumahnya dikenakan PKPD, tambahan lagi pelaksanaan itu bermula pada Hari Raya Aidiladha.
Katanya, walaupun sedih dan terkilan kerana tidak dapat beraya bersama bapanya yang berusia 72 tahun itu, dia terpaksa akur demi keselamatan semua pihak.
“Macam-macam perasaan ada, sedih, terkilan, tidak boleh terima malah ada juga rasa tidak reda. Saya ralat apabila tidak dapat beraya bersama ayah walaupun rumah kami berdekatan.
“Memang saya terima keputusan ini sebab tindakan itu pun demi kebaikan, tetapi sebab esok hari raya, perasaan itu memang lain dan sedih sangat,” katanya ketika ditemui di di sini hari ini.
Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana bapanya itu tidak tinggal berseorangan sebaliknya ditemani adik-beradik lain.
“Hari ini saya mahu ke rumah ayah dan luangkan masa sebelum kami ‘berpisah’ untuk tempoh dua minggu. Barang makanan pun sudah dibeli untuk keperluan sepanjang PKPD,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, Norazwah Abu Bakar, 44, berkata, penduduk di kawasan perumahan itu mula membeli barang keperluan untuk tempoh dua minggu sebagai persediaan.

Katanya, dia yang tinggal di kawasan perumahan sama akan membuka kedai pada hari raya kedua iaitu Rabu ini sekiranya dibenarkan berbuat demikian.
“Setakat ini, belum lagi ada arahan untuk kedai ditutup sepanjang tempoh PKPD. Jika boleh beroperasi, saya akan buka kedai pada raya kedua,” katanya.
Terdahulu, Mukim Batang Padang dan Bidor yang dikenakan perintah sama mulai 10 Julai lalu ditamatkan lebih awal, mulai tengah malam ini, berbanding jadual asal pada 23 Julai depan.










