Rondaan helikopter patahkan cubaan seludup daun ketum  - Utusan Malaysia

Rondaan helikopter patahkan cubaan seludup daun ketum 

AZHAR Hashim (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah, hari ini. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Rondaan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) menggunakan helikopter di sempadan darat Malaysia-Thailand di negeri ini dan Perlis mematahkan cubaan menyeludup daun ketum ke negara jiran dekat Padang Besar, Perlis semalam.

Tinjauan udara Op Benteng Covid menggunakan helikopter AW139 itu mengesan beberapa objek berwarna putih di tepi kawasan berbukit yang merupakan lorong tikus kegiatan penyeludupan di Felcra Lubuk Sireh, kira-kira pukul 3.30 petang.

Rondaan tersebut diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Perak, Superintenden Azhar Hashim bersama juruterbang helikopter PGU Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pangkalan Semenanjung, Superintenden Muhamad Jefri Jaafar.

Menurut Azhar, pihaknya kemudian mengarahkan sepasukan anggota PGA tindak cepat untuk mengesan dan menggeledah kawasan tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak lima guni putih mengandungi 150 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM4,500 yang disyaki mahu diseludup ke Thailand.

“Lokasi penemuan daun ketum terletak berhampiran jalan keselamatan negara iaitu hanya kira-kira 15 meter dari tembok sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Kata beliau, kesemua lima guni berisi daun ketum itu dipercayai dibawa penyeludup ke lokasi berkenaan menggunakan motosikal atau kenderaan pacuan empat roda menerusi lorong tikus sebelum ia dipercayai akan dicampakkan ke negara jiran tersebut melalui tembok sempadan.

“Kita percaya kumpulan penyeludup melarikan diri ke kawasan semak dan hutan sebaik menyedari kehadiran helikopter yang membuat rondaan di situ,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, Batalion 3 PGA Bidor yang ditugaskan dalam Op Benteng Covid Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand dan Op Benteng Covid Kawalan Persisiran Pantai Barat Utara Perlis sepanjang 105 kilometer menghasilkan 23 kes rampasan daun ketum seberat hampir enam tan sejak 1 Julai lalu hingga semalam.

“Kita turut berjaya menahan seorang wanita warga Thailand berusia 21 tahun yang masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan sah melalui pagar keselamatan yang telah dipotong, lelaki tempatan dipercayai tonto penyeludupan selain merampas sebuah motosikal dan sebilah parang.

“Kesemua rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM168,330,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya mengesan taktik baharu yang mana penyeludup kini memasukkan guni putih berisi daun ketum ke dalam plastik hitam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN