KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi Kota Bharu akan mendengar semula kes Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang ditemukan mati dalam keadaan tergantung di tandas asrama sebuah sekolah di Kok Lanas Disember 2013 lalu, Selasa ini.
Ahli keluarga kepada remaja berkenaan, Ali Hanafiah Mohamed, proses itu penting bagi mencari keadilan berkaitan kes berkenaan.
“Selasa ini, Mahkamah akan mendengar sama ada menolak kes ini tanpa perbicaraan atau meneruskan ke perbicaraan penuh.
“Menolak tuntutan ini atas alasan teknikal had masa tanpa memberi ruang dan peluang perbicaraan penuh akan menyebabkan ketidakadilan yang serius?,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya hari ini.
Ali Hanafiah berkata, kes tersebut tidak wajar ditutup sebelum kebenaran didengar.
“Andai mahkamah menolak untuk dibicarakan? Biasanya mahkamah akan perintahkan pihak keluarga membayar kos? Berapa? Keluarga kena gadai atau jual tanah. Siap sedia, hormati keputusan mahkamah,” ujarnya.
Menurutnya, saman sivil oleh keluarga itu melibatkan tiga pihak utama iaitu Kerajaan Malaysia, Ketua Polis Negara serta Pegawai Penyiasat kes.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris ditemukan tergantung dalam tandas asrama sekolah, namun laporan bedah siasat ketika itu mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah.
Bagaimanapun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan pelajar itu sebenarnya dibunuh oleh individu yang masih belum dikenal pasti identitinya. – UTUSAN










