RM100j jayakan penyumberluaran perkhidmatan kesihatan Lembah Klang

RM100 juta jayakan penyumberluaran perkhidmatan kesihatan Lembah Klang

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan penyumberluaran perkhidmatan kesihatan di Lembah Klang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara itu dilaksanakan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan peruntukan itu bagi memperkasakan keupayaan kesihatan negara.

Katanya, Perdana Menteri dalam lawatannya ke Tengku Ampuan Rahimah Hospital (HTAR), Klang, dekat sini pagi tadi turut mengarahkan penambahan segera 151 katil di Kompleks Rawatan Ibu dan Anak (KRIBA) serta tambahan 15 ventilator bagi kegunaan hospital terbabit.

“Selain itu, antara langkah-langkah menangani peningkatan kes Covid-19 yang mendadak di Lembah Klang adalah dengan menambah baik pengurusan pesakit di hospital iaitu menambahkan dua buah Hospital Full Covid-19, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang yang kini mempunyai 577 buah katil bermula 23 Jun lalu manakala hospital lain dijadikan sebagai Hospital Hybrid Covid-19 kecuali Hospital Shah Alam yang dikekalkan sebagai Hospital Non-Covid-19.

“Semua hospital di Lembah Klang akan ditambah kapasiti katil iaitu daripada 3,412 katil kepada 3,777 buah katil di Selangor manakala daripada 795 buah kepada 1,129 buah katil di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan Pengurusan Pandemik Covid-19 di Lembah Klang secara maya hari ini.

Adham berkata, kerjasama turut dibuat dengan dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM dan Hospital Pengajar UPM bagi mengoptimumkan penggunaan katil sekali gus menjadikan keseluruhan katil bagi perawatan Covid-19 di Lembah Klang melebihi kapasiti 5,000 buah katil.

Katanya, skop perkhidmatan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 sebagai Hospital Bersepadu MAEPS yang berfungsi sama dengan hospital kerajaan lain bagi memberi perawatan pemulihan perawatan kecemasan kes Covid-19 kategori 3 dan 4 dengan menambahkan kapasiti oksigen kepada lebih 1,500 pesakit malah mempunyai 4,888 buah katil.

“Kapasiti rawatan kecemasan khususnya di Selangor dengan meningkatkan lagi jumlah katil kecemasan daripada 486 kepada 591 buah katil; menambahkan kapasiti perawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital daripada 280 buah katil kepada 349 buah di Selangor manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada 90 buah katil kepada 117 buah katil.

Bagi meningkatkan lagi kapasiti oksigen di PKRC, kita sudah menambah sebanyak 1,000 tangki oksigen serta 1,000 “oxygen concentrator’. Buat masa ini, jumlah penggunaan bekalan oksigen di Selangor sebanyak 3,413 buah bersama 53 peratus daripada 6,391 buah melibatkan port dan tangki,” katanya.

Beliau berkata, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) juga telah mengaktifkan Zon Pengurusan Bencana (DMZ) melibatkan kawasan parkir bawah tanah yang dilengkapi dengan katil, bekalan oksigen berpusat, vacuum ports dan sistem pendawaian elektrik khas.

Katanya, kompleks rawatan ini serta hospital medan dapat menyediakan kapasiti hingga 150 buah katil manakala kapasiti ICU di HATTM juga telah ditingkatkan dengan penambahan sebanyak 17 katil termasuk keperluan ventilator yang menjadikan keseluruhan kapasiti sebanyak 25 buah katil.

“Bagi HTAR Klang, penambahan katil bagi perawatan Covid-19 telah ditambah sebanyak 151 katil wad dan Zon Merah Kecemasan Hospital Serdang ditukar kepada Zon Merah Covid-19.

“Penyumberluaran rawatan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta juga telah pun dilaksanakan dari HTAR dan beberapa hospital KKM di Lembah Klang. Penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta bertujuan untuk membolehkan HTAR serta hospital KKM di Lembah Klang meningkatkan kapasiti bilangan katil Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya