BAGAN SERAI: Gesaan supaya kerajaan menarik balik pengharaman dua buku berkaitan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) disifatkan sebagai tidak sensitif terhadap sejarah pahit negara serta perasaan waris mangsa keganasan komunis.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, naratif yang cuba dibawa melalui penerbitan buku berkenaan dilihat lebih cenderung membina simpati terhadap tokoh tertentu, sekali gus berisiko ‘memutihkan’ sejarah gelap perjuangan komunis di negara ini.
“Penulisan seperti ini bukan sekadar sejarah, tetapi membawa naratif yang boleh mengelirukan, khususnya apabila kisah hidup disusun untuk menimbulkan simpati dan menutup realiti sebenar ideologi tersebut,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Pas Kawasan Bagan Serai di sini hari ini.
Ahli Parlimen Baga Serai itu berkata, secara umumnya masyarakat Malaysia masih menolak ideologi komunis yang dianggap sensitif serta bertentangan dengan nilai agama dan budaya tempatan.
Menurutnya, sejarah keganasan komunis bukan sekadar catatan lampau, sebaliknya meninggalkan kesan mendalam terutama kepada generasi terdahulu yang pernah melalui zaman darurat.
“Kita mungkin tidak melalui sendiri detik itu, tetapi datuk nenek kita pernah merasai ketakutan, kehilangan dan penderitaan akibat kekejaman komunis. Ini bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan,” ujarnya.
Menurutnya, usaha mengangkat semula naratif berkaitan komunis berpotensi mengguris hati waris anggota keselamatan serta mangsa yang terkorban dalam mempertahankan negara.
“Mengungkit kembali perkara ini tanpa keperluan hanya akan membuka luka lama. Sejarah itu sudah ada tempatnya, tidak perlu diputar semula dengan tafsiran yang boleh mengelirukan,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung daripada PKR yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik pengharaman dua buku berkaitan tokoh PKM iaitu ‘Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen ke-10’ dan ‘Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’.
Difahamkan kedua-dua karya tersebut telah dikenakan notis larangan oleh KDN walaupun belum disenaraikan secara rasmi dalam perintah larangan, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kebebasan wacana sejarah dan sensitiviti ideologi komunis di negara ini. – UTUSAN










